Menara pencawang telekomunikasi di Sungai Perak terbakar

28 Dis 2025, 2:48 AM
Menara pencawang telekomunikasi di Sungai Perak terbakar

SHAH ALAM, 28 DIS: Sebuah menara telekomunikasi terbakar dalam kejadian di kawasan pencawang Telekom Malaysia Sungai Perak, Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, semalam.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.36 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata kebakaran menara berkenaan dapat dilihat dari Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), namun anggota bomba menghadapi kesukaran untuk ke lokasi berikutan alamat yang diberikan tidak tepat serta kesesakan lalu lintas.

“Anggota mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba di lokasi kerana kedudukan menara terletak di kawasan hutan dan ladang kelapa sawit. Bomba terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda sebelum mendapati api telah padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kebakaran itu telah dipadamkan lebih awal dengan bantuan tuan tanah menggunakan alat pemadam api dan air tadahan.

“Kebakaran melibatkan sebahagian struktur menara dan menyebabkan beberapa panel komunikasi mengalami gangguan perkhidmatan termasuk rangkaian Maxis. Siasatan lanjut akan diteruskan pagi ini,” katanya.