SHAH ALAM, 27 DIS: Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki menggunakan MyKad milik individu lain bagi menebus bantuan program Budi Madani RON95 (Budi95) di sebuah stesen minyak di Gemencheh, semalam.
Bahagian Penguatkuasaan (BSK) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya dalam kenyataan memaklumkan tangkapan dibuat susulan aduan pemilik sebenar MyKad yang mendapati penebusan bantuan tersebut dilakukan tanpa pengetahuannya.
"Siasatan awal mendapati suspek berusia 42 tahun menggunakan MyKad berkenaan di sebuah stesen minyak di Gemencheh sebelum ditahan di sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Baru, Sungai Lerek, kira-kira jam 12 tengah hari," menurut JPN.
JPN memaklumkan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya.
Dalam pada itu, JPN menegaskan perbuatan memiliki atau menggunakan MyKad orang lain bagi apa-apa tujuan termasuk penebusan bantuan kerajaan merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.




