GOMBAK, 27 DIS: Selangor menyasarkan pembukaan 10 lagi cawangan Ehsan Mart tahun depan, selaras usaha menyediakan barangan keperluan harian dengan harga berpatutan kepada rakyat.
Dato' Menteri Besar berkata kewujudan rangkaian pasar raya itu membolehkan penduduk mendapatkan barangan asas secara konsisten, selain disokong Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diadakan berkala.
Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif itu juga bagi memenuhi sasaran semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) memiliki Ehsan Mart untuk memastikan akses meluas kepada rakyat.

"Dengan peluasan rangkaian Ehsan Mart, JER yang mendatang tidak lagi digerakkan secara menyeluruh, sebaliknya diteruskan secara terpilih di beberapa lokasi, manakala Ehsan Mart pula akan beroperasi hampir setiap hari dengan pelbagai promosi dari semasa ke semasa.
"Pelaksanaan ini bergantung kepada permintaan serta kesesuaian lokasi memandangkan kebanyakan premis memerlukan sewaan, namun sasaran jangka panjang adalah untuk memperluaskan rangkaian ini demi kemudahan rakyat," katanya.
Ehsan Mart adalah rangkaian pasar raya yang dilancarkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, yang menawarkan barangan asas seperti beras dan minyak masak dengan harga lebih murah.

Ditemui pada majlis pembukaan Ehsan Mart ke-16 di Taman Melawati di sini hari ini, menurut Amirudin, Ehsan Mart turut diintegrasi dengan sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Langkah itu, jelasnya, membolehkan penerima menebus kredit bantuan RM100 yang diberikan kerajaan persekutuan untuk membeli barangan keperluan di rangkaian pasar raya berkenaan.
"Produk di Ehsan Mart juga terlibat dalam SARA. Saya sendiri menebus kredit SARA dan salurkan kepada keluarga yang memerlukan, khususnya di DUN Hulu Kelang.
"Keseluruhan inisiatif termasuk Ehsan Mart, JER serta program sempena musim perayaan membuktikan komitmen berterusan negeri menangani kenaikan harga barangan dan melindungi kebajikan rakyat," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata rangkaian Ehsan Mart turut dihubungkan dengan Gedung Makanan Selangor (GMS), yang berperanan sebagai simpanan bekalan makanan ruji negeri.
"Bekalan seperti beras dan daging daripada GMS akan disalurkan melalui rangkaian Ehsan Mart pada tahap tertentu. Gedung ini juga akan dipastikan sentiasa mempunyai stok mencukupi bagi menampung keperluan satu hingga dua bulan," katanya.




