Kadar inflasi terkawal: Rakyat Selangor berbelanja pada harga munasabah - MB

27 Dis 2025, 5:16 AM
Kadar inflasi terkawal: Rakyat Selangor berbelanja pada harga munasabah - MB
Kadar inflasi terkawal: Rakyat Selangor berbelanja pada harga munasabah - MB
Kadar inflasi terkawal: Rakyat Selangor berbelanja pada harga munasabah - MB
Kadar inflasi terkawal: Rakyat Selangor berbelanja pada harga munasabah - MB

GOMBAK, 27 DIS: Kadar inflasi yang terkawal di Selangor membolehkan rakyat negeri ini terus membeli barangan keperluan pada harga munasabah, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata kadar inflasi negeri ketika ini berada pada paras 1.6 hingga 1.8 peratus, sekali gus mengekalkan kestabilan harga barangan asas meskipun kos sara hidup berbeza antara negeri.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ditemui media selepas meninjau operasi Pasar Tani Taman Melawati , Gombak pada 27 Disember 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Perbandingan harga barangan antara negeri tidak boleh dibuat secara terus kerana Selangor mempunyai taraf hidup serta tahap pendapatan yang lebih tinggi, khususnya di kawasan Lembah Klang.

“Walaupun harga barangan di Selangor dilihat lebih mahal berbanding negeri lain, inflasi masih terkawal dan rakyat masih mampu mendapatkan barangan keperluan. Keadaan ekonomi dan pendapatan rakyat di Selangor juga berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan singkat selama 20 minit di Pasar Tani Melawati, Gombak, pagi tadi—antara lokasi tumpuan penduduk setempat mendapatkan barangan keperluan harian.

Inflasi Malaysia kembali menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober lalu apabila Indeks Harga Pengguna meningkat kepada 135.1 berbanding 133.4 pada bulan sama tahun lalu.

Di Selangor, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan menghadapi cabaran kos sara hidup, inflasi dan tekanan kewangan. Antaranya adalah:

  • Program BINGKAS: Bantuan kewangan RM300 sebulan kepada keluarga yang layak

  • Program BINGKASAN: Disediakan dalam Belanjawan Selangor 2026 dengan peruntukan RM5 juta untuk membantu lebih ramai keluarga

Dato Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyantuni peniaga di Pasar Tani Taman Melawati, Gombak pada 27 Disember 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Amirudin menegaskan, peranan agensi pengendali pasar tani dan pasar pagi amat penting bagi memastikan harga barangan tidak dimanipulasi orang tengah serta kekal pada tahap munasabah.

“Tujuan pasar tani ini diwujudkan adalah untuk menstabilkan harga dan memastikan sebahagian besar barangan dijual pada harga yang berpatutan serta mampu dibeli rakyat,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, pasar tani dan pasar pagi di Selangor yang dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan turut berperanan menetapkan sebahagian harga bagi melindungi kepentingan pengguna.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus melihat mekanisme terbaik bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga yang tidak membebankan,” katanya.