Kenderaan tenggelam dalam air: Detik 60 saat penentu nasib

28 Dis 2025, 6:00 AM
Kenderaan tenggelam dalam air: Detik 60 saat penentu nasib
Kenderaan tenggelam dalam air: Detik 60 saat penentu nasib
Kenderaan tenggelam dalam air: Detik 60 saat penentu nasib
Kenderaan tenggelam dalam air: Detik 60 saat penentu nasib

SHAH ALAM, 28 DIS: Detik awal selepas kenderaan terjunam ke dalam tasik atau lombong merupakan saat paling kritikal yang menentukan hidup atau mati.

Mangsa hanya mempunyai kira-kira 30 hingga 60 saat untuk bertindak sebelum kenderaan dipenuhi air dan risiko lemas meningkat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya Mohd Razi Abdul Muttalib berkata dalam tempoh awal itu, sistem tingkap kebiasaannya masih berfungsi dan menjadi peluang terbaik untuk mangsa menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya Mohd Razi Abdul Muttalib

“Perkara paling penting ialah kawal emosi dan kekal tenang. Tempoh 30 hingga 40 saat pertama sangat kritikal untuk kita membuka tingkap dan keluar dari kenderaan” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, panik hanya akan melambatkan tindak balas dan menyukarkan lagi usaha menyelamatkan diri.

“Biasanya (dalam tempoh itu) tingkap masih boleh dibuka. Jika gagal, mangsa perlu segera memecahkan cermin sisi menggunakan alat pemecah kaca atau apa-apa peralatan keras yang ada,” jelasnya.

Alat kecemasan

Sehubungan itu, Mohd Razi menasihatkan setiap pemandu melengkapkan kenderaan dengan alat pemecah kaca atau pisau kecil untuk memotong tali pinggang keledar.

Langkah ini penting sebagai persediaan menghadapi situasi tidak dijangka, khususnya kemalangan melibatkan kenderaan terjatuh ke dalam air.

Beliau turut menggariskan langkah-langkah keselamatan utama yang perlu diambil secara pantas dan teratur:

  • segera tanggalkan tali pinggang keledar

  • buka atau pecahkan cermin sisi atau belakang

  • keluar dari kenderaan secepat mungkin

  • berenang ke tebing atau kawasan selamat

  • hubungi pihak bomba untuk bantuan lanjut

Mohd Razi untuk mengingatkan mangsa untuk tidak memecahkan cermin hadapan kerana ia lebih tebal dan sukar dipecahkan berbanding cermin sisi atau belakang.

Sekiranya tiada alat khas, belau menyarankan mangsa menggunakan peralatan dalam kenderaan seperti besi penyandar kepala atau pengunci stereng untuk memecahkan cermin sebagai usaha terakhir.

Bantu yang lemah

Sekiranya kemalangan turut melibatkan kanak-kanak, Mohd Razi menekankan individu dewasa perlu keluar terlebih dahulu.

“Orang dewasa perlu menenangkan keadaan sebelum membantu kanak-kanak, supaya situasi tidak menjadi lebih panik dan tidak terkawal,” katanya.

Mayat enam sekeluarga yang dipercayai hilang sejak Sabtu lepas, ditemukan dalam sebuah kereta yang tenggelam di dasar Sungai Korok, dekat Jitra pada 7 Julai 2025. Foto BERNAMA

Dalam masa sama, orang awam yang menyaksikan kejadian dinasihatkan untuk segera melaporkan insiden kepada pihak bomba dan mereka boleh menghulurkan bantuan jika mempunyai peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan atau bot.

“Jika tiada peralatan atau berisiko kepada diri sendiri, lebih baik tidak terjun membantu dan segera hubungi pihak bertanggungjawab,” katanya.

Mohd Razi turut mengingatkan semua pemandu agar sentiasa berwaspada, terutama ketika memandu pada waktu malam dan dalam keadaan hujan atau jalan gelap.

Langkah berhati-hati ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan keselamatan sepanjang perjalanan.

Sebelum ini, media sering melaporkan beberapa insiden kemalangan melibatkan kenderaan terjunam ke dalam air yang mengorbankan nyawa termasuk kanak-kanak sali gus ia menjadi peringatan serius tentang kepentingan keselamatan pemanduan dan kesiapsiagaan hadapi kecemasan.