SHAH ALAM, 25 MEI: Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Lebuhraya Segamat-Kuantan, Muadzam Shah, Rompin, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.12 pagi itu, mangsa yang menaiki Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata kemalangan membabitkan Proton Saga, Perodua Alza dan Perodua Axia, yang masing-masing dinaiki empat individu.
“Dalam Proton Saga, dua lelaki dewasa tersepit dan cedera manakala seorang kanak-kanak lelaki turut cedera dan seorang lagi kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia.
“Empat mangsa yang menaiki Perodua Alza terdiri daripada seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang kesemuanya cedera,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi turut dibantu lima anggota bersama sebuah jentera dari BBP Chini.
“Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.








