Dasar OKU Selangor dibentang bulan depan - EXCO

26 Dis 2025, 4:33 AM
Dasar OKU Selangor dibentang bulan depan - EXCO

SHAH ALAM, 26 DIS: Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor kini berada di fasa akhir penelitian dan akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) seawal bulan depan.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata dasar tersebut merangkumi lima teras utama termasuk kebolehcapaian, reka bentuk sejagat, peluang pekerjaan serta pengukuhan hak OKU di negeri ini.

“Ia akan menjadi garis panduan kepada semua agensi dan jabatan negeri berkaitan hal ehwal OKU di Selangor.

"Idea utama adalah supaya dasar ini diterima pakai oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pembangunan dan infrastruktur lebih inklusif, dengan mengiktiraf keperluan serta hak golongan OKU,” katanya seperti dilapor The Star.

Anfaal berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari OKU Antarabangsa peringkat Selangor di Kampus Selayang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Batu Caves, semalam.

Menurut beliau, dasar baharu itu turut mengambil inspirasi daripada kejayaan pelaksanaan Garis Panduan Reka Bentuk Sejagat oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak 2017, sekali gus menjadi model keterangkuman untuk pelbagai peringkat umur dan keupayaan fizikal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Insan Istimewa Selangor (Yanis), Kamarul Hisham Yeop Hashim berharap pertubuhan tersebut dapat menerima peningkatan peruntukan bagi memperkukuh bantuan kebajikan tahun hadapan.

“Kami berharap dapat menerima peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan Negeri bagi inisiatif bantuan kebajikan tahun depan, supaya lebih ramai kanak-kanak OKU dapat dibantu serta mengurangkan beban kewangan keluarga mereka,” katanya.