SHAH ALAM, 25 DIS: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor memaklumkan dua pemaju hartanah kini giat melaksanakan kerja pelebaran Jalan Sungai Buaya, Hulu Selangor bagi meningkatkan aliran trafik dan keselamatan pengguna jalan.
Pengarah JKR Selangor Ir Shukri Ishak berkata kerja-kerja yang dijalankan oleh pemaju Penca Rasmi dijangka siap sepenuhnya menjelang April 2026 manakala Landmark Concord dijangka menamatkan projek pada 2027.
“Panjang jalan utama Jalan Sungai Buaya ialah 5.3 kilometer dan telah disyaratkan kepada empat pemaju untuk dinaik taraf kepada empat lorong seperti termaktub dalam kelulusan kebenaran merancang.
"Dua pemaju telah memulakan kerja pembinaan di tapak, manakala dua lagi masih belum memulakan kerja pelebaran,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Selain itu, Shukri berkata kerja-kerja pembaikan tebing turut dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir Mac tahun depan.
JKR Selangor juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau pergerakan kenderaan berat melalui laluan itu.
“Perintah Sekatan Masa Kenderaan Berat telah dikuatkuasakan. Lori lima tan tidak dibenarkan melalui jalan ini pada waktu 6.30 hingga 9.30 pagi dan 3.30 hingga 7 petang,” jelas beliau.
Shukri menambah, pihaknya merancang pelan naik taraf keseluruhan jalan berkenaan dan akan mengemas kini maklumat projek dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, Malaysia Gazette melaporkan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Bandar Sungai Buaya Datuk Ruslee Hashim mendakwa laluan berkenaan kerap rosak, berlubang, dan baru-baru ini berlaku kejadian tanah runtuh.
Menurut beliau, kesesakan trafik boleh mencecah 5,000 kenderaan sejam pada waktu puncak, selain kawasan selekoh berbahaya di Laluan Persekutuan FT1208 yang terkenal dengan kadar kemalangan tinggi.
Beliau turut menjelaskan, sekiranya pihak berkuasa tidak memantau keadaan itu, lebih 20,000 penduduk bakal terputus hubungan lagi.










