MB: Krismas, tahun baharu lambang perpaduan, harapan rakyat Selangor

25 Dis 2025, 9:23 AM
MB: Krismas, tahun baharu lambang perpaduan, harapan rakyat Selangor

SHAH ALAM, 25 DIS: Krismas menjadi simbolik tentang kasih sayang dan memberi sementara tahun baharu pula simbol azam dan harapan yang menyatukan masyarakat berbilang kaum serta agama di Selangor, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata bulan Disember menutup tirai tahun dengan dua perayaan penting yang diraikan di peringkat global iaitu Krismas pada 25 Disember dan sambutan tahun baharu pada 31 Disember.

“Krismas melambangkan nilai kasih sayang dan semangat memberi manakala Tahun Baharu pula mencerminkan azam serta harapan untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Semoga 365 hari mendatang menjadi lembaran yang lebih bermakna, dipenuhi semangat perpaduan demi Selangor yang terus maju dan berjaya,” katanya di Facebook.

Amirudin berkata, kedua-dua perayaan ini bukan sahaja menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang malah mengukuhkan semangat kebersamaan dalam membangunkan negeri.

Menurut beliau, kepelbagaian budaya dan kepercayaan yang diraikan secara harmoni menjadi kekuatan Selangor sebagai sebuah negeri progresif dan saling menghormati antara satu sama lain.

Amirudin turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Krismas kepada semua yang meraikannya serta mendoakan agar tahun baharu yang bakal menjelang membawa kesejahteraan, kesihatan dan rezeki berpanjangan.