Sambutan Krismas Selangor di One Utama pada 14 Disember

30 Nov 2025, 12:00 PM
Sambutan Krismas Selangor di One Utama pada 14 Disember

PETALING JAYA, 30 NOV: Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Negeri Selangor 2025 bakal berlangsung di Kawasan Parkir Terbuka, pusat beli-belah One Utama pada 14 Disember ini.

Acara anjuran Kerajaan Negeri itu dijadual bermula jam 3 petang hingga 7 malam, manakala jamuan makanan percuma disediakan kepada pengunjung mulai jam 3.30 petang.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menerusi Facebook berkata pelbagai pengisian disediakan bagi memeriahkan sambutan.

Antaranya yang menarik ialah persembahan silap mata, penampilan Santa Claus dan Santarina serta aktiviti mewarna muka (face painting).

Turut diadakan persembahan live band selain aktiviti menghias pencuci mulut seperti cupcake, donut dan biskut gingerbread bagi pengunjung dari pelbagai peringkat usia.

Sambutan tahunan itu bertujuan menggalakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor serta meraikan perayaan Krismas bersama komuniti setempat.