SHAH ALAM, 25 DIS: Balai Seni Negara (BSN) bersedia mempamerkan 12 lukisan bernilai tinggi hasil karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM140 juta, yang akan dibawa pulang ke Malaysia oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata beberapa perancangan akan dilaksanakan sejurus karya seni berkenaan tiba di negara ini, termasuk kemungkinan dipamerkan kepada orang ramai.
Menurutnya, perancangan untuk menyerahkan lukisan tersebut kepada BSN sememangnya wujud memandangkan karya seni yang dipulangkan mempunyai nilai tinggi dan perlu dijaga rapi oleh kerajaan.
“Ketika ini, keutamaan diberikan kepada aspek logistik bagi memastikan proses membawa pulang karya seni berkenaan berjalan lancar,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau turut memaklumkan tidak menolak kemungkinan karya seni itu akan dipamerkan kepada umum, selari dengan peranan BSN sebagai institusi pameran seni bertaraf antarabangsa.
Sebelum ini, BSN pernah menjadi lokasi pameran bertaraf dunia seperti Opera Omnia yang mempamerkan versi digital karya Leonardo da Vinci termasuk Mona Lisa pada 2019, selain pameran seni moden Rauschenberg Cultural Interchange (ROCI), terbesar di Asia Tenggara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata pihaknya bersedia terbabit secara aktif dalam penjagaan lukisan berkenaan kerana BSN memiliki fasiliti lengkap serta mematuhi piawaian antarabangsa.
“Balai Seni Negara bukan sahaja antara galeri terbaik di Asia Tenggara, malah dari segi fasiliti konservasi juga menepati standard antarabangsa, khususnya dalam aspek konservasi pencegahan.
“Ia melibatkan kawalan pencahayaan, kelembapan, keselamatan serta pengurusan dan dokumentasi data bagi memastikan karya seni terpelihara,” katanya.
Menurut Amerrudin, BSN bersedia menyediakan ruang khas untuk mempamerkan lukisan berkenaan sekiranya menerima mandat daripada pihak berkuasa seperti SPRM, bagi memastikan kualiti dan keselamatan karya seni itu terus terjamin.
Berita Harian sebelum ini melaporkan lukisan terbabit berkemungkinan dipamerkan kepada orang ramai sebagai simbol kejayaan operasi penguatkuasaan negara, sebelum tindakan seterusnya diambil termasuk proses lelongan bagi mengembalikan semula dana kepada kerajaan.
Karya pelukis terkenal dunia itu dipulangkan kepada Malaysia selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengesahkan ia mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.


