Hitamnya jelaga sering dianggap kotor, namun di tangan seorang pelukis, ia bertukar menjadi seni bernyawa yang membawa pulangan rezeki.
Tenang mengatur liuk api lilin di atas kanvas, Fana Douau mengawal nyalaan kecil dengan penuh tumpuan, seolah-olah api menjadi berus yang mengikuti lenggok tangannya.
Setiap goresan tidak datang daripada berus, tetapi daripada nyala lilin yang menari perlahan di bawah kanvas, seolah-olah api akur pada lenggok tangannya.
Dari gerak kecil itulah lahir bayang-bayang hitam yang membentuk potret penuh jiwa.
Nampak mudah, namun teknik lukisan menggunakan jelaga memang memerlukan kesabaran dan ketelitian tinggi.
Sebelum api dilayurkan, Fana terlebih dahulu menampal bahagian-bahagian tertentu menggunakan pita penutup agar jelaga tidak menyentuh kawasan yang ingin dikekalkan bersih.
Di situlah seni ini bermula — antara risiko dan kawalan, antara keberanian dan ketelitian.

Menurut wanita 35 tahun itu, hasil lukisan teknik jelaga sangat bergantung kepada kawalan api dan asap. Ia juga menuntut kekuatan tangan untuk memegang dan menstabilkan kanvas sepanjang proses berlangsung.
“Teknik jelaga ialah kaedah menghasilkan lukisan menggunakan asap daripada api sebagai medium utama. Bukan berus, bukan cat tetapi jelaga hitam yang terhasil daripada pembakaran."
Wanita asal Melaka itu berkata kanvas biasanya diangkat melepasi paras mata atau lebih tinggi dari kepala untuk karya bersaiz besar.
"Dengan lilin di bawah kanvas, asap naik perlahan dan menyentuh permukaan, meninggalkan lapisan karbon halus. Semakin lama pendedahan, semakin gelap tona hitam,” katanya.
Namun, jika terlalu lama akan muncul tompok hangus yang bakal mencacatkan lukisan. Di situ kepakaran dan ketelitian pelukis diuji.
“Tangan kita harus harus kuat sebab kita nak kawal api itu bukan mudah. Lukisan jelaga ini, salah satu teknik adalah jika ia besar, kita letakkan lukisan di atas dan bakar dari bawah.
“Untuk lukisan biasa, bila lukis ia akan berada di depan muka. Tapi untuk teknik jelaga, lukisan biasanya diletakkan lebih atas dari kepala jika ia besar.
"Atau lebih atas daripada aras mata. Kita harus mendongak, bukan sesuatu yang mudah,” kata wanita itu.

Sekitar 2019, Fana memulakan eksplorasi teknik lukisan menggunakan jelaga tiga potret wanita paling penting dalam hidupnya - nenek, ibu dan ibu mentua.
Pelajar seni halus dari Malaysia Institute of Art kemudian mengembangkan kepada siri potret wanita berpengaruh di Malaysia termasuk legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.
Namun pada 2021, dunianya tiba-tiba runtuh apabila ibu tersayang pergi buat selama-lamanya. Fana jatuh murung, lukisannya menjadi hitam putih, sepi tanpa warna. Hampir dua tahun dia berhenti berkarya.
Hasilkan potret kucing, haiwan kesayangan
Tahun lalu, perlahan-lahan dia kembali memegang lilin, fokusnya turut berubah.
Daripada potret manusia, karyanya kini banyak menampilkan imej haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing dengan warna-warna yang lebih segar dan menyerlah.
Setakat ini, lebih 50 karya jelaga dihasilkan, sebahagian besarnya potret kucing dengan harga antara RM250 hingga RM5,000.
Karyanya turut mendapat tempahan peribadi termasuk pelanggan yang mahu mengabadikan potret haiwan peliharaan mereka.

Ibu kepada seorang anak itu kini turut bereksperimen dengan gabungan jelaga dan warna.
Namun, warna hanya boleh ditambah selepas proses pembakaran selesai dan karya benar-benar kering kerana cat yang terkena api akan rosak.
“Ramai ingat kucing dalam lukisan saya hitam kerana jelaga api, tetapi sebenarnya kucing ada warna tersendiri. Jadi saya masukkan warna selepas pembakaran untuk menyerlahkan karakter,” katanya.
Dia dalam masa sama berharap teknik jelaga dapat diperkenalkan kepada lebih ramai pelajar seni kerana seni ini jarang dipelajari di Malaysia.
Fana yang berkarya di kediaman miliknya menyimpan impian besar — membuka galerinya sendiri, sebuah ruang untuk orang melihat keindahan jelaga dengan lebih dekat.
“Bila ada galeri sendiri, saya mahu ajar teknik jelaga api sebab ia satu teknik yang patut diketahui lebih ramai pelajar seni,” katanya.


