Secangkir kopi dalam nuansa warna

7 Dis 2025, 7:00 AM
Secangkir kopi dalam nuansa warna
Secangkir kopi dalam nuansa warna
Secangkir kopi dalam nuansa warna

Tatkala melangkah masuk ke kafe di Kampung Kubu Gajah, Shah Alam diri terasa seperti berada dalam galeri lukisan. Cukup berbeza dengan kedai kopi moden yang lain.

Lukisan abstrak berwarna terang memenuhi dinding, disejukkan pokok hiasan yang merimbun, juga dilengkapi perabot daripada struktur kayu yang cukup gah dan mempesona.

Di sini pelanggan boleh menikmati secangkir kopi bersama pelbagai hidangan enak. Namun ada sesuatu yang lebih istimewa. Setiap barang yang terpamer boleh dibeli jika berkenan di hati.

“Cash and carry,” kata pemiliknya, Azriff Abu Noh, atau lebih mesra disapa Uncle Fie.

Konsepnya cukup luar biasa, disebabkan itu susun atur Warunk Koffee by Wood & Steel itu berlainan setiap bulan.

“Bukan kami suka-suka tukar. Sebenarnya banyak barang terjual. Kadang ada yang beli perabot, lukisan, pokok pun ada.”

Pemandangan luar Warunk Koffie pada 13 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Usahawan berusia 59 tahun itu berkata idea itu bermula sebagai strategi perniagaan. Tujuannya hanya mahu menarik perhatian orang ramai. Namun sambutannya di luar jangkaan.

Pokok hiasan dijual serendah RM20 hingga RM400, sementara karya lukisannya ada terjual sehingga puluhan ribu ringgit.

Paling digemari pelanggan sudah tentu lukisan abstrak milik Uncle Fie. Ada dalam kalangan pengunjung adalah pengikut tegar karyanya.

Setiap kali hiasan dinding itu bertukar, pasti ada yang bertanya. Walaupun tidak pernah menimba ilmu berkaitan seni halus, bakatnya itu sudah sedia mengalir dalam tubuhnya.

Datuk beliau, Abdullah Ariff pelukis terkenal yang pernah digelar Bapa Seni Moden Malaysia.

Menggemari gaya abstrak, sebelum 2020 dia menyukai seni ‘gelap’ dan mistik. Itu sahaja gaya yang memenuhi ruang galerinya satu ketika dahulu.

Pemandangan dalam Warunk Koffie pada 13 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Covid-19 ubah contengan

Wabak itu pernah ‘mematikannya’ selama sebulan namun tidak pernah disangka dia kembali hidup. Selepas ‘hidup’ kembali, warna karyanya turut berubah.

“Allah panjangkan umur. Bila bangun, saya tengok dunia ini cantik sangat. Indah dan ceria. 'Life is short'. Jangan sia-siakan.”

Bapa lima anak itu mampu menghabiskan separuh hari dengan hanya bertemankan kanvas dan warna-warna cat.

Sejak itu, lukisannya menjadi penuh warna dan bertenaga. Sesuatu yang boleh dirasai pengunjung Warunk Koffie hanya dengan duduk secawan kopi berlatarkan seni ciptaannya.

Bukan sekadar dipamer dalam kedai kopinya, karya indah milik Uncle Fie pernah dipapar menerusi pelbagai pameran termasuk di Empire Gallery, Galeri Putih Bangsar, Publika, The Curve dan beberapa lagi ruang seni sekitar Lembah Klang.

Pemandangan dalam Warunk Koffie pada 13 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Bekas kakitangan Petronas itu awalnya terjun ke dunia perdagangan perabot sehingga bangunan kafe itu awalnya mahu dijadikan gudang menyimpan perabot dan lukisannya sahaja.

Namun anak keduanya cuba mengubah tanggapan daripada gudang diubah menjadi kafe. Akhirnya dia bersetuju membuka kafe, syaratnya identiti seni dan rekaan perabotnya mesti ada di situ.

Maka lahirlah Warunk Koffie, kafe yang bukan sekadar tempat makan, tetapi ruang seni bebas membolehkan pelanggan melepaskan lelah sambil menikmati makanan enak dan melihat keindahan seni lukisan dalam rimbunan hijau.