HULU SELANGOR, 10 OGOS: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan 'Ehsan Dairy Farm’ di Sungai Tengi di sini, hari ini.
Majlis pecah tanah Kompleks Lembu Tenusu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu turut dihadiri EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
PKPS menerusi kenyataan memaklumkan, kawasan ladang seluas 42 ekar itu akan menempatkan lebih 1,200 ekor lembu tenusu baka berkualiti tinggi jenis Jersey-Holstein Friesian (F2) yang diimport dari Australia.
Pusat tenusu yang dijadual beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun depan disasar menghasilkan sehingga 1.8 juta liter susu segar setahun, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan pengimportan produk berkenaan.
“Projek Ehsan Dairy Farm akan memberi impak ekonomi dengan menjana pendapatan tahunan melebihi RM7.5 juta dan menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan.
“Selain itu, kompleks integrasi teknologi pengurusan ladang pintar, automasi dan kesihatan haiwan digital selain menyokong pembangunan ekosisten agroindustri hiliran termasuk pemprosesan, pembungkusan termasuk pemasaran susu tempatan,” katanya.
Jelas kenyataan itu, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana seperti PKPS mampu membawa Ehsan Dairy Farm sebagai model ladang tenusu utama negara.
“Projek juga merupakan komponen utama dalam pelaksanaan Rangka Tindakan Sekuriti Makanan Selangor 2021-2025 tunggu tiga tonggak utama iaitu Pengeluaran, Pengedaran dan Keterjaminan.
“Ia mencerminkan komitmen jangka panjang ke arah penyediaan makanan sihat, pengurangan kebergantungan kepada import dan pemeliharaan kedaulatan makanan negara,” katanya.
PKPS memberitahu Selangor terus memperkukuh peranan dalam agenda sekuriti makanan menerusi pelbagai inisiatif strategik.
“Jualan Ehsan Rahmah memberi manfaat tujuh juta penduduk dengan harga barangan asas 15 peratus hingga 30 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
“Di samping itu, penubuhan Gudang Makanan Selangor sebagai pusat simpanan stok makanan strategik negeri selain pelaksanaan Jelapang Padi Darul Ehsan dan Ladang Jagung Bijian Ehsan bagi memperkukuh bekalan makanan ruji tempatan,” katanya lagi.