SHAH ALAM, 24 DIS: Nilai pasaran tujuh pemain warisan Harimau Malaya menjunam kepada sifar susulan penggantungan FIFA berhubung kes pemalsuan dokumen untuk mendapatkan status kerakyatan.
Laman penilaian pemain antarabangsa, Transfermarkt, mengesahkan semua pemain tersebut kini direkodkan tanpa nilai pasaran selepas keputusan FIFA mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan serta denda RM10,560 setiap seorang.
Pemain paling terkesan ialah Imanol Machuca yang sebelum ini bernilai €2.5 juta (RM11.98 juta), kini menyaksikan nilainya lenyap sepenuhnya.
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueirido turut mengalami kejatuhan nilai sebanyak €2 juta (RM9.58 juta) secara mendadak.
Facundo Garces pula menyaksikan kejatuhan nilai daripada €2 juta (RM9.58 juta) kepada €1 juta (RM4.79 juta), sebelum akhirnya turut direkodkan sebagai sifar.
Turut menerima nasib serupa ialah Jon Irazabal yang kehilangan nilai pasaran €600,000 (RM2.87 juta), diikuti Rodrigo Holgado €450,000 (RM2.16 juta) dan Hector Hevel €400,000 (RM1.91 juta), lapor Sinar Harian.
Gabriel Palmero yang sebelum ini bernilai €50,000 (RM239,000) juga kini hilang nilai komersialnya.
Tindakan FIFA dibuat selepas pemain terbabit didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang melibatkan pemalsuan dokumen.
Situasi tersebut turut memberi kesan kepada kelab masing-masing. Kontrak Rodrigo Holgado bersama kelab Colombia, America de Cali ditamatkan serta-merta, manakala Gabriel Palmero disingkirkan oleh CD Tenerife di Sepanyol.
Imanol Machuca pula dihantar pulang ke kelab asalnya di Brazil selepas Velez Sarsfield di Argentina enggan menyambung tempoh pinjaman.
Facundo Garces pula masih menanti keputusan kelab mengenai status masa depannya.
Sementara itu, tiga pemain yang berpangkalan di Malaysia iaitu Hector Hevel, Joao Figuerido dan Jon Irazabal masih kekal bersama JDT buat masa ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dikenakan denda RM1.8 juta oleh FIFA dan kini dalam proses membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mencabar keputusan berkenaan.





