Sumbangan Mydin ringankan beban ibu bapa beli kelengkapan sekolah

23 Dis 2025, 1:30 PM
Sumbangan Mydin ringankan beban ibu bapa beli kelengkapan sekolah
Sumbangan Mydin ringankan beban ibu bapa beli kelengkapan sekolah
Sumbangan Mydin ringankan beban ibu bapa beli kelengkapan sekolah
Sumbangan Mydin ringankan beban ibu bapa beli kelengkapan sekolah

SUBANG JAYA, 23 DIS: Sumbangan kelengkapan persekolahan daripada Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), termasuk baju seragam, alat tulis dan beg memberi kelegaan kepada ibu bapa dengan meringankan kos penyediaan keperluan sekolah anak-anak untuk sesi 2026.

Suri rumah K. Brenda berkata bantuan bernilai RM150 itu membolehkan anaknya, S. Santhos, 10, memiliki kelengkapan sekolah baharu tanpa membebankan keluarga.

Suri rumah K. Brenda

“Ini kali pertama anak menerima bantuan persekolahan. Lengkap semuanya termasuk baju, kasut, alat tulis dan beg. Saya dan suami hanya perlu sediakan duit untuk membeli buku. Ini memang ringankan beban. Separuh daripada kos sudah selesai,” katanya kepada Media Selangor.

Pelajar Tahun Lima, Rabuatul Farhanama Mohd Hanafiah, 11, pula teruja kerana dapat memilih sendiri keperluan sekolah mengikut citarasa sendiri.

Pelajar Tahun Lima, Rabuatul Farhanama Mohd Hanafiah

“Ini meringankan beban ibu, terutama kerana dua lagi adik beradik saya juga bersekolah. Saya pilih jam dan beg baharu. Seronok dapat barang baru bila masuk sekolah nanti,” katanya.

Kedua-duanya antara lebih 1,000 pelajar yang menerima sumbangan dalam program Jelajah Generasi Pintar anjuran MYDIN, yang turut mendapat kerjasama syarikat kasut Abaro.

Program jelajah ini memfokuskan pelajar sekolah rendah di Selangor sebelum diperluaskan ke negeri lain termasuk Terengganu, Kelantan, Pahang dan Melaka.

Ia bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah memberi semangat kepada pelajar untuk kembali ke sekolah dengan penuh keyakinan.

Ibu bapa memilih kelengkapan sekolah sesuai untuk anak mereka dalam Program Mydin Jelajah Generasi Pintar di Mydin Subang Jaya pada 23 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR