KUALA LUMPUR, 8 DIS: Pembangunan pusat pengedaran berautomasi penuh oleh Sime Darby Property Berhad dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta mempercepat pengedaran barangan keperluan rakyat.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemudahan moden yang dibangunkan di City of Elmina itu turut mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab logistik utama negara.

Menurutnya, projek berkenaan menjadi pemangkin baharu kepada ekosistem logistik negeri, sekali gus mengangkat Selangor sebagai hab logistik utama di rantau Asean dan destinasi pilihan pelaburan bernilai tinggi.
“Fasiliti ini akan mengguna pakai automasi dan pendigitalan secara agresif termasuk penggunaan robotik, sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (AS/RS) serta analitik data masa nyata yang bertepatan dengan aspirasi negeri dan membuktikan syarikat tempatan mampu memanfaatkan teknologi dan mencapai produktiviti bertaraf global.
“Pusat Pengedaran MYDIN ini lebih daripada sekadar bangunan besar, ia merupakan komponen penting dalam memastikan keselamatan rantaian bekalan negara yang menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri.
“Pusat pengedaran berautomasi juga mampu mengurangkan pembaziran makanan, menurunkan kos logistik dan memastikan barangan keperluan sampai kepada rakyat dengan lebih cepat serta pada harga yang kompetitif sekali gus menyokong usaha kita mengurus kos sara hidup,” katanya berucap merasmikan majlis pecah tanah pusat pengedaran berautomasi itu di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Dato’ Seri Azmir Merican berkata pusat tersebut dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 19 ekar dengan nilai pembangunan RM450 juta.
“Kami berbangga bekerjasama dengan MYDIN untuk membangunkan fasiliti yang mencerminkan masa depan perdagangan Malaysia, menggabungkan warisan perniagaan dan teknologi tinggi.
“Pusat pengedaran ini akan menjadi nadi transformasi logistik MYDIN, meningkatkan ketepatan inventori, mempercepat penghantaran dan mengukuhkan ketahanan operasi rangkaian peruncitan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata pembangunan yang dijangka siap pada suku ketiga 2027 akan memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak, termasuk komuniti sekitar.
“Selain meningkatkan operasi MYDIN, projek ini akan memberi kesan positif kepada ekosistem perniagaan di Elmina dan Lembah Klang. Ia juga bakal mewujudkan permintaan terhadap pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang automasi, teknologi logistik dan operasi gudang berasaskan data,” katanya.


