Jabatan Pertanian ingatkan orang ramai waspada penipuan menggunakan nama jabatan

23 Dis 2025, 11:40 AM
Jabatan Pertanian ingatkan orang ramai waspada penipuan menggunakan nama jabatan

SHAH ALAM, 23 DIS: Jabatan Pertanian Negeri Selangor mengingatkan orang awam dan usahawan bimbingan supaya berwaspada terhadap kegiatan penipuan yang menggunakan nama jabatan itu untuk tujuan mendapatkan wang atau kepentingan peribadi.

Dalam kenyataan hari ini, jabatan berkenaan mendedahkan modus operandi penipuan termasuk penyamaran sebagai pegawai jabatan dan pengemukaan dokumen palsu seperti Pesanan Tempatan Kerajaan (Local Order, L/O).

Menurut kenyataan itu, pihak jabatan tidak mengeluarkan sebarang Surat Setuju Terima atau L/O kepada mana-mana pembekal pada masa ini kerana akaun kerajaan telah ditutup.

“Jabatan Pertanian Negeri Selangor ingin menegaskan bahawa tiada sebarang pengeluaran Surat Setuju Terima atau Pesanan Tempatan Kerajaan kepada mana-mana pembekal buat masa ini,” jelas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, mana-mana dokumen L/O yang menggunakan logo jabatan tersebut dianggap palsu dan berkemungkinan besar merupakan sebahagian daripada penipuan.

Jabatan turut menasihatkan mana-mana individu atau usahawan yang menerima dokumen meragukan supaya segera menghubungi Ibu Pejabat Jabatan Pertanian Negeri Selangor untuk pengesahan.

“Jabatan ini hanya mengeluarkan dokumen rasmi melalui saluran dan pegawai yang sah,” tambah kenyataan itu.

Sekiranya terdapat individu atau syarikat yang menjadi mangsa penipuan, mereka disarankan membuat laporan polis di balai polis berdekatan.

Jabatan Pertanian Negeri Selangor juga menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada serta tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran atau permintaan meragukan.

Langkah itu penting bagi melindungi keselamatan individu dan reputasi jabatan daripada disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.