SHAH ALAM, 13 JUL: Jabatan Pertanian Negeri Selangor membuka permohonan bantuan pembangunan industri asas tani sehingga 29 Ogos ini, meliputi pelbagai insentif termasuk penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT).
Permohonan terbuka kepada individu atau kelompok yang berminat membangunkan sektor pertanian dengan penekanan kepada automasi dan pertanian pintar selaras Dasar Agromakanan Negara 2.0.
Antara bentuk bantuan yang ditawarkan termasuk:
- pembangunan tanaman seperti cendawan, padi, kelapa, tanaman kontan, buah-buahan dan sayuran
- pembangunan sektor agropelancongan
- pembangunan Agro Food Park dan tanah berpotensi
- penubuhan pusat pertanian, program nurseri dan pengeluaran benih
Menurut agensi berkenaan di Facebook, permohonan boleh dibuat dengan memuat turun borang di pautan https://t.me/mydoa_hq/1970
Borang lengkap perlu dihantar ke Pejabat Pertanian Daerah sebelum dinilai mengikut terma dan syarat ditetapkan.
Syarat permohonan termasuk:
- warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas
- keutamaan kepada pemohon yang belum pernah menerima insentif
- mempunyai dokumen pemilikan tanah sah
- memiliki pensijilan myGAP atau myOrganic
Pada Khamis, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kementeriannya menggalakkan penggunaan teknologi pintar seperti dron, automasi, penderiaan jauh, AI dan IoT bagi meningkatkan hasil pertanian secara mampan dan mesra alam