Sabak Bernam jadi tumpuan lawatan pemantauan pertanian negeri

19 Dis 2025, 1:00 PM
Sabak Bernam jadi tumpuan lawatan pemantauan pertanian negeri

SHAH ALAM, 19 DIS: Pengarah Pertanian Negeri Selangor, Azahar Ibrahim turun padang meninjau pelaksanaan projek pertanian utama di Sabak Bernam bagi memastikan inisiatif agromakanan berjalan mengikut perancangan.

Lawatan pemantauan itu melibatkan beberapa projek pertanian termasuk Projek Padi Parit 10 Timur, Projek Tanaman Halia Komuniti, Projek Tanaman Halia Sekolah Kebangsaan Seri Bahagia, serta Projek Tanaman Nenas Sejati Madani JPKK Batu 40.

Selain itu, lawatan turut merangkumi projek Industri Asas Tani (IAT) iaitu AniFood, yang mengusahakan pengeluaran aneka dodol dan wajik, serta CTS Production Sdn Bhd, pengeluar biskut tradisional dan produk cili giling Fatonah.

Jabatan Pertanian Negeri Selangor memaklumkan lawatan tersebut bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan projek, memastikan ia selari dengan objektif pembangunan sektor agromakanan negeri serta memberi impak kepada pengeluaran makanan dan pendapatan pengusaha.

Lawatan itu turut menjadi platform bagi pihak jabatan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengusaha dan komuniti terlibat.

Turut hadir wakil pelbagai bahagian teknikal serta pegawai pertanian daerah, mencerminkan pendekatan bersepadu jabatan dalam pembangunan pertanian negeri dan daerah.