SHAH ALAM, 23 DIS: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi perhatian serius terhadap dakwaan pengubahan wang haram melibatkan seorang pegawai kanan tentera dan telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian itu menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang dan akan dijalankan, selain menegaskan komitmen terhadap pematuhan undang-undang serta prinsip keadilan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan atau penghakiman sendiri sehingga siasatan selesai dan dapatan rasmi diumumkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“MINDEF akan menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut atau mengambil tindakan seterusnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kesediaan untuk menyiasat dakwaan aliran masuk tunai dalam jumlah besar yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan tentera serta pihak berkaitan, seperti didakwa oleh seorang aktivis.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung dakwaan tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan sekiranya disokong oleh maklumat serta bukti yang sahih.
Terdahulu, media melaporkan seorang aktivis mendakwa aliran masuk tunai yang besar dikesan dalam akaun bank milik seorang pegawai kanan tentera serta ahli keluarganya.
Menurutnya, audit forensik terhadap dokumen yang diterima mendedahkan kemasukan wang bulanan antara RM50,000 hingga RM60,000.
Dokumen berkenaan juga didakwa menunjukkan pemindahan wang dalam jumlah lebih besar, mencecah ratusan ribu ringgit, ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai terbabit.
Aktivis itu turut mendakwa dana berkenaan dipindahkan daripada akaun syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.


