SHAH ALAM, 22 DIS: Seorang pekerja pembersihan, Fauzisham Darwis, 51, yang cedera teruk akibat letupan gas memasak di rumahnya di Taman Pagoh Jaya, meninggal dunia sekitar jam 12.15 tengah hari Isnin.
Allahyarham sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah sejak malam Khamis lalu. Berita pemergian beliau dimaklumkan oleh rakan karib, Hanafi Taib, 51.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terus Panchor, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, mengesahkan pihaknya menerima laporan kematian dan siasatan dijalankan mengikut prosedur mati mengejut.
Dalam kejadian jam 8 malam Khamis itu, Fauzisham melecur teruk apabila gas memasak yang dipercayai bocor meletup di rumahnya. Ketika itu, mangsa berada seorang diri manakala isterinya keluar membeli barangan.
Fauzisham ditemui terbaring di luar rumah dengan kesan melecur di muka dan seluruh badan.


