KLANG, 22 DIS: Dengan sokongan tenaga kerja mahir dan projek yang dilaksanakan dengan cepat, Selangor semakin menjadi pilihan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara untuk bekerja dan berniaga.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, ramai rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara memilih Selangor untuk memulakan perniagaan, sambil membawa kepakaran dan teknologi moden, menjadikan negeri ini hab bakat serantau.
“Mereka pulang dengan pengetahuan yang dipelajari di luar negara serta membawa masuk teknologi terbaik dan pelaburan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Syntec Intelligence Technology Sdn Bhd di Bandar Bukit Raja, di sini hari ini.
Beliau berkata, perkembangan itu khususnya melibatkan sektor berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik yang berpotensi menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada graduan muda.

Dengan lebih 100 institusi pengajian tinggi beroperasi di Selangor, Sze Han berkata negeri ini berjaya melahirkan kumpulan graduan berkualiti yang besar.
Pada majlis itu, beliau menekankan peranan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dalam menghubungkan Selangor dengan rangkaian global, termasuk contoh Pengarah Global Syntec, Otis Siah, yang kembali selepas lebih 10 tahun menimba pengalaman di Taiwan dan Amerika Syarikat.
Sz Han menekankan peningkatan keyakinan global terhadap Malaysia, seiring pengukuhan nilai ringgit dan pulihnya keyakinan pelabur, yang mencerminkan optimisme terhadap ketahanan ekonomi negara dan hubungannya dengan teknologi global.
“Ini berkait dengan cara kita melihat globalisasi. Ia adalah laluan dua hala. Satu hala ialah Malaysia melangkah keluar dengan berani untuk meraih pulangan daripada dunia. Satu lagi hala ialah menarik masuk modal dan teknologi dunia ke dalam ekosistem kita.
“Misi kami jelas tetapi mencabar; kami mahu Selangor menjadi ibu pejabat serantau dan pusat operasi bagi industri utama masa hadapan. Kami mahu menjadi otak, bukan sekadar tangan,” katanya.

Sementara itu, Sze Han berkata, keupayaan Selangor bergerak pantas telah mengukuhkan keyakinan pelabur, terbukti apabila Syntec menubuhkan operasinya di negeri ini hanya beberapa bulan selepas perbincangan awal.
“Kita berkumpul pada waktu yang sangat menarik. Jika dilihat kepada pemantau kewangan global, sentimen sedang berubah. Pasaran kini optimis terhadap Malaysia.
“Dana global kembali mengalir masuk. Penganalisis menaik taraf unjuran mereka. Mengapa? Kerana dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, Malaysia melambangkan daya tahan ekonomi. Kita menyaksikan kebangkitan semula pasaran aset dan pengukuhan nilai ringgit,” katanya.
Ringgit mencatat prestasi lebih baik berbanding mata wang serantau tahun ini, dengan peningkatan 8.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat dan 3.3 peratus berbanding dolar Singapura.
Antara yang hadir pada majlis pecah tanah hari ini ialah Pengarah Bebas Syntec Group, Grant Kuo; Timbalan Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia (TECO Malaysia), James JM Buu; Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain; dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor, Sherulanuar Abd Karim.


