HAH ALAM, 22 DIS: Sejumlah RM5 juta diperuntuk bagi meneruskan perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) pada tahun hadapan, kata EXCO mobiliti.
Ng Sze Han berkata pihaknya telah mengenal pasti 13 zon bagi perkhidmatan tersebut dengan menumpukan kawasan sepanjang Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

“Dua minggu lalu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan pelan bagi van DRT dengan tumpu kawasan jajaran LRT3 dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan awam ini lebih sempurna.
“Buat masa ini, proses lantikan di peringkat akhir dan dijangka dimuktamad dalam masa terdekat sebelum perkhidmatan ini bermula Januari depan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menerusi Rapid KL yang menyediakan perkhidmatan atas permintan.
“Perkhidmatan DRT ini berjaya diperluas di banyak kawasan khususnya di bandar oleh Rapid KL. Hampir 300 van Rapid KL disedia mengikut zon yang berbeza.
“Ini menunjukkan perkembangan positif jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik,” katanya.
Program perintis DRT Mobiliti Selangor bermula sejak November 2023 hingga Julai 2024 di lapan zon seluruh negeri. Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan menamatkan operasi pada 14 Mac lalu manakala Trek Rides berhenti beroperasi pada 30 Jun.
LRT3 merupakan laluan sepanjang 37 kilometer yang merentasi barat Lembah Klang ini bukan sahaja memendekkan jarak perjalanan, malah dijangka mengembalikan kehadiran orang ramai dan peluang ekonomi, sekali gus menjadi enjin baharu kepada pembangunan ekonomi serta pelancongan tempatan.
LRT3 menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang dengan 26 stesen, termasuk sembilan stesen di Klang iaitu Bandar Baru Klang, Pasar Besar, Jalan Meru, Pasar Jawa, Taman Selatan, Sri Andalas, Klang Jaya, Bukit Tinggi dan Johan Setia.
Stesen-stesen ini merangkumi kawasan bersejarah Klang yang masih mengekalkan pasar tradisional, kedai makanan lama dan rumah ibadat pelbagai agama.





