SHAH ALAM, 20 DIS: Mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui dalam bungkusan plastik di lorong belakang sebuah pasar raya di Seksyen 25 di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan itu oleh orang awam kira-kira 7 pagi.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian, disyaki bayi tersebut dilahirkan di tempat lain dan telah dibuang di tempat kejadian. Siasatan masih diteruskan bagi mengumpul segala bukti dan keterangan yang ada di sekitar tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata mayat bayi terbabit dihantar ke Unit Forensik Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi proses bedah siasat.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman menerusi talian 011-17554394.
Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.


