Mayat bayi tanpa kepala ditemukan dalam longkang di Kuala Berang

16 Okt 2026, 2:46 PM
Mayat bayi tanpa kepala ditemukan dalam longkang di Kuala Berang

KUALA BERANG, 16 OKT: Mayat seorang bayi tanpa kepala dan satu tangan ditemukan di dalam longkang di kawasan perumahan di Kampung Padang Setengge, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan itu pada 6.52 petang.

Beliau berkata susulan laporan berkenaan, polis menghubungi Unit Forensik D10 dan unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk membantu siasatan serta mengumpul bukti di lokasi kejadian.

“Mayat bayi itu ditemukan oleh seorang wanita ketika membasuh pakaian di belakang rumahnya. Ketika ditemukan, mayat berkenaan berada dalam keadaan tanpa kepala dan satu tangan.

“Setakat ini, polis belum dapat mengenal pasti jantina dan kewarganegaraan bayi berkenaan. Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharudin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.