PENAMPANG, 28 JULAI: Polis giat mengesan individu susulan penemuan mayat bayi tidak cukup sifat di kawasan Kampung Goliga Kolopis di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden Sammy Newton berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.52 pagi.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati mayat bayi dipercayai tidak cukup sifat itu ditemui berhampiran rumah pengadu.
"Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah serta Unit K-9 PDRM digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan dan pemeriksaan tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy berkata mayat bayi itu dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi dengan membuang secara sulit.
"Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan.







