SHAH ALAM, 20 DIS: Seorang guru sebuah sekolah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur ditahan semalam, bagi membantu siasatan kes amang seksual melibatkan murid lelaki berumur 11 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata guru berusia 40 tahun itu telah mengajar di sekolah tersebut kira-kira 11 tahun.
“Lelaki terbabit direman enam hari bermula hari ini hingga Khamis depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail memaklumkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu pada Selasa.
Beliau berkata, polis sudah merakam keterangan tujuh individu termasuk mangsa bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.


