Petaling Jaya kaya warisan masakan Melayu, sasar tarik pelancong sempena TMM2026

20 Dis 2025, 8:25 AM
Petaling Jaya kaya warisan masakan Melayu, sasar tarik pelancong sempena TMM2026
Petaling Jaya kaya warisan masakan Melayu, sasar tarik pelancong sempena TMM2026

PETALING JAYA, 20 DIS: Ahli Parlimen Petaling Jaya akan menggerakkan aktiviti pelancongan di kawasan tersebut berteraskan warisan makanan Melayu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Lee Chean Chung berkata Petaling Jaya sering tidak dilihat sebagai destinasi pelancongan utama, namun keadaan itu wajar diubah dengan mengetengahkan kekuatan sebenar kawasan berkenaan, khususnya di Taman Medan.

“Petaling Jaya, termasuk Taman Medan, sebenarnya kaya dengan warisan makanan Melayu. Masyarakat tempatan tahu kawasan ini penuh dengan sajian dari Perak, Johor dan pelbagai negeri lain.

“Antara inisiatif dirancang ialah penganjuran pesta makanan Melayu di Taman Medan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, sebagai sebahagian daripada persiapan menyambut TMM2026,” katanya ketika ditemui di Program Kembali Ke Sekolah di Dataran Anak Muda PJS di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Chean Chung memaklumkan pihaknya juga akan memberi tumpuan terhadap naik taraf infrastruktur seperti pembinaan bumbung di pasar malam PJS4 untuk memberi keselesaan buat peniaga di sana.

“Dengan adanya tapak berbumbung, penjaja tidak perlu lagi bimbang soal cuaca dan keselamatan. Bagi Taman Medan pula, satu projek utama yang saya harapkan ialah penyiapan jalan di PJS4 mengikut jadual yang ditetapkan,” jelasnya.

Ditanya mengenai harapan pada tahun depan, beliau menyifatkan tahun 2026 sebagai tempoh penting untuk Kerajaan Madani membuktikan pencapaian melalui rekod dan pelaksanaan dasar yang berkesan.

“2026 adalah tahun ketiga pemerintahan Kerajaan Madani. Ini masa untuk kita membuktikan kerja melalui rekod dan memastikan setiap janji yang dibuat benar-benar disampaikan kepada rakyat,” ujarnya.