SHAH ALAM, 16 JAN: Selangor meneruskan kempen Tahun Melawat Selangor tahun ini seiring pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bagi mengukuhkan peranan negeri itu sebagai antara pintu masuk utama pelancongan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata keputusan berkenaan dibuat susulan prestasi memberangsangkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 apabila negeri itu berjaya merekodkan 80 peratus daripada sasaran lapan juta pengunjung seawal September 2025.
Menurut beliau, kesinambungan kempen tersebut mencerminkan komitmen berterusan Selangor dalam menyokong agenda pelancongan nasional di bawah TMM2026.
“Kami memilih untuk lebih ke hadapan dengan semangat yang baharu. Pelanjutan kempen Tahun Melawat Selangor membolehkan kami memperkenalkan lebih banyak pengalaman terbaharu, memperkukuh kerjasama strategik serta menggalakkan pelancong untuk terus kembali ke Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seiring sasaran nasional sebanyak 47 juta ketibaan pelancong bagi TMM2026, Selangor menetapkan sasaran menerima sembilan juta pelancong pada tahun ini, disokong prestasi positif sektor pelancongan negeri.

Sepanjang tahun ini, Selangor dijangka menganjurkan lebih 90 acara berteraskan pelancongan yang berlangsung hampir setiap minggu di seluruh negeri, merangkumi pelbagai segmen termasuk makanan, budaya, gaya hidup, industri kreatif, agropelancongan serta pelancongan berasaskan komuniti.
Antara acara utama yang akan kembali dianjurkan ialah Selangor Travel Fair, Selangor Food Mega Festival, Selangor Coffee Festival dan Festival Sawah Padi Selangor, selain pelbagai program lain yang akan diumumkan secara berperingkat.
Yee Ling berkata pelancongan berasaskan komuniti akan terus menjadi tunjang strategi pelancongan Selangor, dengan Program Hos Komuniti Setempat Selangor dijangka diperluaskan pada 2026 susulan pelantikan 49 hos komuniti pada tahun sebelumnya.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasa komuniti setempat sebagai pencerita, pemandu dan duta kepada destinasi masing-masing, sambil mengetengahkan pengalaman tempatan yang autentik merangkumi kehidupan desa, makanan tradisional, warisan serta tarikan alam semula jadi,” katanya.
Sebagai negeri yang menempatkan pintu masuk antarabangsa utama negara, Selangor terus memainkan peranan strategik dalam menyambut pelancong ke Malaysia melalui gabungan tarikan bandar, keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya serta kemudahan jaringan perhubungan yang lengkap.
Seiring pelaksanaan TMM2026, Selangor turut mengalu-alukan kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menikmati pengalaman pelancongan yang dipertingkatkan serta hubungan komuniti yang lebih erat sepanjang tahun.


