PETALING JAYA, 20 DIS: Media Selangor buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Impak Media Selangor (AIMS) 2025, sebagai platform mengiktiraf karya berimpak tinggi serta menghargai sumbangan warga kerjanya dalam bidang kewartawanan dan kandungan digital.
AIMS 2025 merangkumi empat kategori utama iaitu Artikel Impak Tinggi, Video Impak Tinggi, Video TikTok Impak Tinggi dan Infografik Impak Tinggi.
Penyampaian anugerah berlangsung pada Majlis Malam Penghargaan Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) 2025 di sini, malam tadi.
Bagi kategori Artikel Impak Tinggi, wartawan Nurul Ufairah Tarmizi diumumkan sebagai pemenang, hasil penulisannya yang konsisten menonjolkan isu masyarakat dengan pendekatan yang berfakta dan berimpak.

“Anugerah ini menjadi batu loncatan dan pembakar semangat untuk saya terus berkarya.
“Saya komited melaporkan berita terbaik serta isu semasa melalui penulisan yang memberi pendedahan kepada masyarakat,” katanya.
Kategori Video Impak Tinggi pula dimenangi Norrasyidah Arshad, yang menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian luar jangka.
“Saya tidak sangka satu artikel boleh membawa kemenangan ini. Anugerah ini memberi semangat untuk menghasilkan laporan lebih berkualiti dan berasaskan siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, Nik Nazihah Nik Ahmad Khan memenangi kategori Infografik Impak Tinggi sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti serta keupayaannya menyampaikan maklumat secara ringkas, tepat dan mudah diikuti.
“Persaingan sangat sengit, dan pengiktirafan ini menyuntik semangat untuk saya lebih kreatif dalam menyampaikan berita yang sahih dan mudah dihadam,” jelasnya.
Kategori Video TikTok Impak Tinggi pula dimenangi Raja Syazwani Raja Azman, Harun Tajudin dan Nurul Nabihah Abdul Hamid menerusi video bertajuk APM Perangkap Buaya.
Majlis turut mengumumkan senarai finalis bagi semua kategori, menggambarkan komitmen Media Selangor dalam membudayakan kewartawanan beretika, kreatif dan berimpak demi manfaat masyarakat.
Turut diraikan ialah penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta kakitangan yang telah berkhidmat selama 10 dan 15 tahun sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi mereka kepada organisasi.

Bagi APC tahun ini, empat penerima diumumkan iaitu Ketua Jabatan Operasi, Marniza Othman; Eksekutif Kanan Jualan, Syahir Khadri; Wartawan, Siti Sofia Md Nasir serta Penolong Editor (Video), Anna Farina Abdul Rauf.
Setiap penerima menerima dinar emas seberat 2.125 gram bersama trofi sebagai simbol penghargaan atas komitmen dan kecemerlangan mereka.




