SHAH ALAM, 16 JULAI: Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) selaku media rasmi negeri akan mempergiat promosi Platform Selangor (PLATS) bagi mencapai sasaran 100,000 peniaga mendaftar di bawah inisiatif digitalisasi itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata hebahan akan dilaksanakan menerusi semua platform antaranya SelangorTV, portal berita dalam empat bahasa - Selangorkini, Selangor Journal, Selangorkini Mandarin, Selangorkini Tamil serta semua platform media sosial.
"MSSB akan mendekati peniaga-peniaga. Kita akan gunakan semua platform untuk menyebarkan kelebihan atau manfaat PLATS sekali gus mencapai sasaran 100,000 peniaga menjelang tahun depan.
"PLATS adalah gebang perniagaan digital. Peniaga perlu memanfaatkan aplikasi ini dalam urusan seharian. Selain itu, MSSB juga bercadang memaparkan produk peniaga-peniaga PLATS di semua platform kami,” ujarnya.
Beliau ditemui pada Majlis Jalinan Sinergi dan Apresiasi Rakan Strategik PLATS 2025 di foyer Bangunan SUK, semalam.
Enam agensi diplih dalam jalinan sinergi bersama PLATS iaitu MSSB, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Mynic Berhad, Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC), SIRIM Berhad dan Red Giant Creative House Sdn Bhd.
Mula diperkenal pada Ramadan 2020, PLATS bertujuan melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor dan setahun kemudian, PLATS 2.0 dilancar bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.
Platform maya siri 3.0 itu diteruskan pada April 2022 melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Rakan Digital Selangor (RDS).