Ban ditambah baik, sentiasa dipantau, redakan kebimbangan penduduk

23 Dis 2025, 1:00 AM
Ban ditambah baik, sentiasa dipantau, redakan kebimbangan penduduk
Ban ditambah baik, sentiasa dipantau, redakan kebimbangan penduduk

SHAH ALAM, 23 DIS: Kerja tambah baik ban pesisir pantai Selangor termasuk meningkatkan ketinggian sejak beberapa tahun lalu berjaya mengurangkan kejadian bah besar yang sebelum ini sering memaksa penduduk berpindah.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Datuk Mohd Roslee Abd Hamid berkata ketika ini kebanyakan kawasan yang mencatatkan paras air pasang tertinggi melebihi 5.5 meter dinaikkan kira-kira satu meter lagi supaya limpahan air tidak berlaku lagi.

Menurutnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut menambak ban atau benteng menggunakan tanah berkualiti dan diimport dari luar bagi mengelakkan hakisan berlaku sekali gus mengundang risiko air naik.

Penyelaras DUN Sementa, Datuk Mohd Roslee Abd Hamid

“Kerja naik taraf ban ini dah berjalan beberapa tahun lalu. Lepas banjir besar berlaku, Memang nampak kesan yang sangat baik. Bukan hanya tambah ketinggian ban tapi mereka gunakan tanah berkualiti.

“Pihak berkuasa juga kerap adakan pantauan. Terutama ketika fenomena air pasang. Bila ada pantauan yang kerap, secara tak langsung tahap kukuh ban boleh diramal. Jadi senang mereka terus ambil tindakan wajar,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam masa sama, Mohd Roslee berkata pam kunci air yang sentiasa berada dalam keadaan baik turut mengurangkan risiko air melimpah hingga mampu menjejaskan struktur ban.

“Kunci air ni penting untuk pam air ke laut malah ketika berlaku kejadian air pasang, ia dapat mengelakkan pertembungan dengan air laut. Setakat ini pihak berwajib memang sentiasa memantau keadaan kunci air.

“Semua dapat berfungsi dan boleh digunakan ketika diperlukan. Untuk DUN ini sahaja, ada 12 kunci air. Cuma kita harap pihak pengendali dapat memastikan semua pam ini boleh diguna ketika diperlukan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tok Muda, Abdul Halim Moklas.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tok Muda Abdul Halim Moklas berkata, kerja penambahbaikan ban dan pantauan berkala mengurangkan jumlah mangsa banjir di kawasan terbabit.

Tambahnya lagi, sebelum ini, penduduk yang tinggal di pesisir pantai sering dilanda kebimbangan sekiranya hujan lebat ketika air laut pasang.

“Bila hujan, semua ahli JKKK akan berkumpul di kawasan ban. Bergilir pantau ban takut runtuh. Alhamdulillah. Sekarang JPS dah naikkan hampir enam meter dan ini dah kurangkan kerisauan penduduk.

“Dulu ban guna guni tanah. Lepas tu dah tambah baik. Guni tu tak bantu pun kukuhkan ban tapi sekarang ban lebih kukuh, guna tanah yang berkualiti. Ban sekarang okay tapi risau juga sebab jadi habitat ketam,” katanya.