'Tanpa binaan pemecah ombak, pesisir pantai tidak mampu bertahan lama'

22 Dis 2025, 1:00 AM
'Tanpa binaan pemecah ombak, pesisir pantai tidak mampu bertahan lama'
'Tanpa binaan pemecah ombak, pesisir pantai tidak mampu bertahan lama'
'Tanpa binaan pemecah ombak, pesisir pantai tidak mampu bertahan lama'

SHAH ALAM, 22 DIS: Dalam usaha melindungi ekosistem pesisir pantai, sejak 1960-an, pelbagai inovasi mencegah hakisan pantai telah dan akan dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor Dato' Ir. Ts. Mohd Nazri Yasmin berkata sebelum ini, pesisir pantai hanya dilindungi kaedah konvensional seperti benteng cerun berbatu, ban tanah, tembok laut atau penanaman semula pokok bakau, namun ia tidak menjamin keselamatan pantai dalam jangka masa panjang.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Dato' Ir. Ts. Mohd Nazri Yasmin bercakap kepada media ketika di temubual di Ibu pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Negri Selangor, Shah Alam pada 19 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Jelas Nazri, transformasi pembangunan ban terus berlaku berikutan beberapa faktor antaranya perubahan reka bentuk, pemilihan bahan, kaedah pembinaan selain pendekatan mitigasi.

Menurutnya antara 1960-an hingga 1980-an, majoriti struktur pembinaan benteng hanya menggunakan tanah asas seperti jenis literit (tanah merah) selain perlindungan hutan paya bakau. Namun struktur berkenan kurang berkesan kerana berlaku proses hakisan, pemendapan sekali gus menyebabkan benteng tidak bertahan lama.

“Ini menunjukkan ban tanah sahaja tidak memadai apabila ekosistem berubah. Ban ditambah baik pada era 1990-an hingga 2010 dengan pembinaan benteng cerun berbatu namun berdepan isu pergerakan batu dari kedudukan asal.

“Kita gunakan kaedah ‘rock revetment’ sebagai perlindungan tambahan dan mampu kurangkan hakisan serta ban pecah. Bagi tempoh 2010 hingga 2020 pula, struktur diperkukuh dengan pembinaan tembok laut atau blok konkrit.

“Pada 2016, 2017 berlaku air pasang besar yang mendorong kerajaan menaik taraf ban menggunakan konkrit, blok sauh dan tembok laut.

“Bermula 2020 hingga kini, kita menggunakan teknologi lebih moden dengan reka bentuk mengambil kira kenaikan aras laut, arus ombak dan keperluan ban jangka panjang. Semua faktor ini digabungkan bagi menentukan aras ban baharu,” katanya kepada Media Selangor.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Dato' Ir. Ts. Mohd Nazri Yasmin bercakap kepada media ketika di temubual di Ibu pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Negri Selangor, Shah Alam pada 19 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Berdasarkan Kajian Keberkesanan Pantai Selangor yang dilengkapkan pada 2023, Nazri menjelaskan struktur binaan pemecah ombak menjadi inisiatif paling berkesan berbanding kaedah lain kerana mampu menahan hentaman ombak sekali gus berupaya memelihara morfologi pantai.

Kerja-kerja penambahbaikan Pantai Morib di Pantai Morib, Kuala Langat pada 28 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurutnya projek rintis pembinaan struktur batu itu telah dilaksanakan di Pantai Morib, Kuala Langat pada 2023 dan kini prosesnya siap kira-kira 90 peratus.

“Pemecah ombak ialah struktur batu yang disusun bagi memecahkan tenaga gelombang arus. Dibina kira-kira 200 meter dari pesisir pantai dan berfungsi menghalang serta mengurangkan tekanan ombak terhadap benteng pantai.

“Apabila ombak datang, struktur ini bertindak menyerap dan menyerakkan tenaga ombak sekali gus memperlahankan arus sebelum sampai ke pantai. Dalam masa sama, ia turut membantu membawa mendapan pasir yang memberi manfaat tambahan kepada ekosistem pantai,” katanya kepada Media Selangor.

Tambak ban di pesisir pantai ketika tinjauan di Jeti Kampung Tok Muda, Klang pada 3 Disember 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Melihat keberkesanannya, Nazri berkata pembinaan struktur berkenaan dirancang lebih banyak menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS2) yang dijangka dibentang Jun tahun depan, dengan memberi tumpuan kepada kawasan utara negeri.

“Pada masa depan, kita merancang membina lebih banyak struktur pemecah ombak di sepanjang pesisir pantai Selangor untuk mengurangkan impak ombak. Namun kosnya agak tinggi kerana penggunaan batu bersaiz besar dan granit, bergantung kepada reka bentuk.

“Saya percaya tanpa pemecah ombak, pesisir pantai tidak mampu bertahan lama. Pembinaan struktur lindungan seperti ban sahaja tidak mencukupi. Walaupun kos tinggi, pemecah ombak mampu melindungi morfologi pantai dengan lebih berkesan,” jelasnya.