SHAH ALAM, 21 DIS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sedang memberi perhatian kepada 75 kilometer ban atau benteng laut di sepanjang pesisir negeri yang terhakis.
Benteng yang terhakis ini adalah 40 peratus daripada keseluruhan ban di Selangor, dengan hampir 5 kilometer dari Kuala Selangor ke Sabak Bernam dikesan dalam keadaan kritikal.
Pengarahnya Dato' Ir. Ts. Mohd Nazrin Yasmin berkata 18.6 kilometer ban pula berada pada tahap sederhana kritikal manakala 51.2 kilometer pula berada pada tahap terkawal kritikal, dengan kebanyakan kawasan terjejas melibatkan pesisir pantai sepanjang Kuala Selangor hingga Sabak Bernam.
Untuk rekod, kejadian ban pecah sering berlaku di kawasan pesisir pantai Selangor. Terbaru, pada November lalu, sekurang-kurangnya 20 buah rumah terjejas apabila ban di Parit 5, Pantai Sentosa, Sekinchan, pecah disebabkan fenomena air pasang besar.
Pada bulan sama, sebanyak 12 kawasan ban di Bagan Datuk, Perak yang berkongsi sempadan pesisir pantai dengan Selangor, pecah dalam kejadian fenomena air pasang besar sekitar jam 3.40 pagi, yang mengakibatkan beberapa rumah penduduk dilanda banjir.
Sebelum itu, pada Oktober pula, 625 penduduk Taman Saujana Aman, Kuala Selangor dan 33 orang penduduk di Kampung Parit 16 Tanjung Medan dan Kampung Belia 2, Sabak Bernam juga dipindahkan kerana banjir disebabkan ban pecah.

Kehilangan hutan paya bakau, perubahan iklim punca hakisan
Kajian Keberkesanan Pantai Selangor yang disiapkan pada November 2023 menunjukkan cuaca ekstrem termasuk kenaikan paras laut akibat perubahan iklim memberi tekanan besar kepada morfologi pantai.
Keadaan itu menyebabkan berlakunya fenomena ombak besar, hujan lebat serta kenaikan paras laut yang turut memberi kesan kepada akar pokok bakau yang berfungsi sebagai penghalang arus ombak.
“Faktor semula jadi antaranya perubahan iklim dan pemanasan global dikenal pasti menjadi punca utama berlakunya limpahan air laut hingga menyebabkan ban semakin terhakis sekali gus mengancam kawasan rendah.
“Ini juga beri kesan kepada perubahan corak ombak dan arus laut, menyebabkan pokok bakau yang berada di hadapan ban semakin menghilang. Akhirnya beri kesan kepada kekukuhan benteng ban.
“Ban jadi tidak stabil hingga berlakunya penurunan struktur benteng seterusnya limpahan air berlaku termasuk merisikokan kejadian banjir,” katanya lagi.

Sifat haiwan turut lemahkan struktur ban
Nazri turut berkata pesisir pantai yang menjadi habitat haiwan seperti ketam dan memerang turut mengganggu kekuatan ban disebabkan sifatnya yang mengorek tanah.
Jelasnya lagi, kemerosotan pengukuhan struktur ban turut berpunca daripada penurunan tanah akibat metarialnya yang tidak tahan lama selain penyenggaraan tak konsisten di kawasan benteng serta pesisir pantai.
Beliau turut mengakui wujud cabaran besar dalam menyelenggara kawasan pesisir pantai namun kerja pemantauan berkala tetap dilaksana disebabkan fenomena air pasang yang berlaku setiap bulan.
“Sebab itu kita adakan pantauan berkala, laksana projek (pantau) fenomena air pasang besar dengan menaikkan ban pantai. Di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), JPS uruskan dua projek berjumlah RM21.8 juta.
“Kedua-duanya sedang berjalan di Sungai Pulai dan Sungai Sekendi di Sabak Bernam. Kerajaan Persekutuan beri sembilan projek dan keseluruhan projek pantai di Selangor berjumlah RM91.5 juta dengan melibatkan kira-kira 26.2 kilometer,” katanya.

Ban sedia ada tak mampu tampung arus ombak akan datang
Nazri turut mendedahkan yang reka bentuk ban sedia ada dibuat berdasarkan data ombak dikeluarkan pada 2010 yang mewujudkan cabaran baharu disebabkan ia tidak mengambil kira rekod perubahan ikim ekstrem ketika ini.

“Purata ketinggian ban sedia ada bawah lima meter, agak rendah dan tidak memadai untuk keadaan ombak dan aras laut akan datang.
“Bentuk ini tidak lagi memenuhi keperluan data ombak dan aras laut terkini. Kenaikan aras laut dan corak ombak yang ekstrem menyebabkan ban sering dilimpahi air laut,” katanya.
Disebabkan itu, tambahnya, JPS sedang melakukan semakan semula parameter reka bentuk termasuk unjuran kenaikan paras laut, ketinggian ombak dan tempoh ulang bagi memastikan ban sedia ada tetap berfungsi dengan baik.
“JPS juga menilai kemungkinan menaiktaraf struktur tertentu supaya ia selamat dan berkesan untuk jangka panjang,” katanya.


