Membedah Siti Zubaidah

20 Dis 2025, 2:35 AM
Membedah Siti Zubaidah

Oleh Aliaa Alina

Saya sangat mengagumi Siti Zubaidah.

Setiap malam, saya bercerita tentang Siti Zubaidah kepada anak perempuan sebelum kami berdua melelapkan mata.

***

Saya dan Siti Zubaidah bertemu kerana seorang pakar psikiatri menyarankan saya untuk menyertai sesi bedah buku di sebuah kedai buku di Kuala Lumpur. Saranan itu berlaku kerana saya memberitahu dia bahawa saya sering bermimpi tidur di dalam sarco pod, di tengah-tengah hutan belantara Switzerland.

Saya mengaku, di dalam pod sempit itu, saya dapat tidur nyenyak, seperti bayi dalam rahim ibu.

Pakar psikiatri itu mengangguk-angguk lalu mencatat sesuatu di nota.

Secara logiknya, mengapa pod itu diwujudkan di Switzerland, yang merupakan antara negara Eropah terbahagia di dunia.

“Sepatutnya pod bunuh diri itu wujud di negara bergolak seperti Sudan, Palestin atau Congo,” ujar saya kepada pakar psikiatri yang berusia awal 40-an. Dia sekadar tersenyum.

“Ataupun sarco pod itu diletakkan di sebelah gerai Pagpag di tengah-tengah penempatan setinggan Manila,” tambah saya lagi kerana pernah terbaca tentang hidangan sampah goreng di Filipina. Di sana, pemungut sampah menunggu di belakang restoran makanan segera untuk mendapatkan sisa ayam goreng yang tak habis diratah pelanggan.

Betapa miskinnya manusia sampaikan sisa ayam yang sudah bercampur dengan sampah busuk, dikutip dan digoreng untuk dijual sebagai makanan kepada penduduk setinggan.

Dia mengangguk dan tersenyum. Kebanyakan pakar terapi memang begitu. Mereka sentiasa tersenyum.

“Kamu suka membaca?”

Saya mengangguk.

Lantas dia mencadangkan nama kedai buku ini. Di sinilah, berlakunya pertemuan pertama saya dan Siti Zubaidah.

***

Kami bertemu ketika sesi bedah buku klasik iaitu Hikayat Panji Semirang.

Saya sangat sukakan nama watak utamanya, Galuh Cendera Kirana. Sampaikan saya menamakan anak perempuan sebagai Galuh Ariana Kirana. Saya berharap, apabila dia masuk ke sekolah menengah, dia tidak diejek oleh rakan sebaya yang nakal.

Tapi saya yakin, dia seorang yang kuat semangat seperti watak itu. Tidak mudah mengalah walaupun ada manusia jahat cuba menindas dirinya.

Siti Zubaidah ada di situ. Dia memakai baju berwarna merah muda dan berambut panjang. Keterampilan diri menampakkan dia seorang wanita yang anggun. Walaupun buah halkum jelas di kerongkong, namun ada sesuatu pada dirinya yang begitu mempesonakan.

Ketua kumpulan kami, seorang perempuan berkaca mata berkata, “Hikayat ini merupakan karya feminis yang mengangkat watak heroin yang berani. Galuh Cendera Kirana tidak menunggu Raden Inu menyelamatkan dirinya. Sebaliknya dia berani menukar jantina dengan menyamar diri menjadi Panji Semirang.”

Siti Zubaidah mengangkat tangan membuatkan semua mata terarah kepadanya.

Dia berdehem, “Katakan watak cerita ini terbalik, Raden Inu yang menukar jantina diri menjadi perempuan, adakah tindakan itu dikira sebagai keberanian?”

Kedengaran beberapa bisikan suara. Siti Zubaidah terus menunduk malu, saya dapat merasakan dia ingin terjun masuk ke dalam lantai itu dan menghilangkan dirinya.

“Dalam dunia hikayat ini, saya rasa tiada keperluan untuk Raden Inu menukar jantina. Dunia lebih adil kepada seorang lelaki berbanding seorang perempuan. Galuh Cendera Kirana terselamat daripada penindasan kerana dia memilih untuk menjadi lelaki. Saya rasa jika Raden Inu memilih menjadi perempuan, perbuatan itu akan menjadi unsur komedi dalam hikayat ini.”

Siti Zubaidah mengangguk faham.

“Hal yang sama boleh dilihat melalui Syair Siti Zubaedah. Iaitu keberanian seorang permaisuri yang menyamar diri menjadi lelaki kerana ingin menyelamatkan suaminya dalam tahanan musuh. Ada volunteer ke untuk bentang cerita ini untuk pertemuan kita yang akan datang?”

Serentak, tangan saya dan Siti Zubaidah naik ke udara.

***

Nama sebenarnya bukan Siti Zubaidah. Cuma setiap kali saya menceritakan kisah ini, saya sentiasa menamakan dia, Siti Zubaidah.

Beberapa kali kami bertemu di kafe untuk membedah kisah Syair Siti Zubaedah. Dalam setiap pertemuan itu, yang dilakukan selepas waktu bekerja, dia tidak menonjolkan dirinya sebagai Siti Zubaidah. Di sebalik kemeja panjang putih dan seluar korduroy, dia terpaksa menyembunyikan dirinya yang sebenar.

Katanya, sebagai seorang yang bekerja di bahagian Komunikasi Korporat di sebuah syarikat media, dia tidak boleh menjadi Siti Zubaidah.

“Bos-bos besar benci melihat seorang pondan berada dalam bilik mesyuarat bersama mereka,” ujarnya pasrah sambil tersenyum kecil.

Saya bersimpati, alangkah sedihnya hidup ini apabila kita perlu wujud menjadi seseorang yang bukan kita kehendaki.

***

Selepas kami berdua membentangkan kisah Syair Siti Zubaedah, dia menghilangkan diri untuk beberapa ketika. Sehinggalah suatu malam, tiba-tiba dia muncul di hadapan pintu rumah saya. Saya hairan melihatnya sebagai Siti Zubaidah pada hari bekerja, dengan buah dada montok di tubuhnya.

Dia menjelaskan kehilangan dirinya selama ini. Rupa-rupanyanya dia telah ke Thailand untuk menjalani pembedahan buah dada. Sekarang ini, dia berasa menyesal dan bimbang jika dipecat daripada syarikat media dan dibuang oleh keluarga sendiri.

Saya memujuk, tiada keluarga yang sanggup membuang darah daging sendiri (suatu kebenaran yang saya sendiri curigai). Dan jika syarikat itu bertindak memecat dirinya (hanya semata-mata dia mempunyai tetek di dada), dia berhak untuk membawa perkara ini ke Pejabat Buruh atas diskriminasi itu.

Siti Zubaidah memandang saya lama. Saya syak, dirinya ada kerisauan yang lain.

“Amina, bagaimana selepas menukar diri menjadi seorang perempuan sepenuhnya, tiba-tiba saya terjatuh cinta dengan awak?”

Soalan itu membuatkan saya tergamam. Saya tidak menafikan saya sentiasa terpesona dengan seorang Siti Zubaidah. Cuma sejauh mana perasaan itu serius untuk mencintai, itu persoalan yang sukar dijawab.

Siti Zubaidah termenung melihat langit malam. Saya meneka sahaja perkara di dalam kepalanya. Adakah dia sedang bertimbang untuk menjadi diri sendiri dan hidup dalam buangan masyarakat. Atau, benarkah wujud sekelumit tarikan seksual terhadap saya?

Persoalan pokok, perlukan Siti Zubaidah berterusan menyamar dalam kehidupan ini?

***

Selepas pertemuan malam itu, Siti Zubaidah tidak pernah memunculkan diri di hadapan saya.

Galuh Ariana Kirana bertanya, adakah suatu hari, Siti Zubaidah akan muncul semula?

Saya sekadar mengangkat bahu tiada kepastian. Dan hati saya sendiri berbelah bahagi, jika Siti Zubaidah kembali, adakah saya boleh menerima dirinya itu?

Si suami sudah lama nyenyak di katil. Dia memberitahu awal pagi esok dia perlu ke KLCC untuk menghadiri majlis pelancaran produk digital milik syarikat medianya. Saya menyentuh parut di dadanya sambil memikirkan jangka hayat perkahwinan ini.

Saya rasakan suatu soalan yang sentiasa bermain di minda seorang isteri, adalah berapa lama suaminya memilih untuk bertahan dalam sebuah perhubungan hidup yang begitu panjang ini.

***

Dalam mimpi malam ini, saya dan Siti Zubaidah tidur nyenyak di dalam sarco pod di tengah hutan Switzerland.