SHAH ALAM, 18 DIS: Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bertegas tidak membenarkan haiwan peliharaan dibawa masuk ke pusat beli-belah.
Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata larangan itu berdasarkan beberapa faktor termasuk keselamatan pengunjung dan aspek kebersihan.
“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersetuju dan mengekalkan larangan membawa haiwan peliharaan kerana ia boleh menggugat keselamatan dan kebersihan selain menghormati kepelbagaian kaum.
“Sekiranya ada cadangan untuk benarkan kita berharap ia melibatkan PBT kerana banyak perlu dipertimbangkan dengan mementingkan pelbagai faktor,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata setakat ini tiada kebenaran untuk membawa haiwan peliharaan masuk ke pusat beli-belah.
“Namun, minggu lalu kita ada terima aduan melibatkan sebuah pusat beli-belah dan satu pertemuan akan diadakan dengan pengurusan pusat beli-belah dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, jika mereka gagal ikut peraturan dan haiwan juga tidak berdaftar boleh dikenakan kompaun. Selain itu, akta bawah Jabatan Kesihatan juga tidak benarkan operasi restoran terdapat haiwan atas factor kebersihan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Petaling Jaya berkata pihaknya kini dalam peringkat akhir penggubalan garis panduan bagi membenarkan membawa haiwan peliharaan ke kafe sahaja.
“Di pusat beli-belah memang tidak boleh bawa haiwan peliharaan tetapi ada permintaan untuk membenarkan di kafe. Namun kita belum lagi benarkan kerana tiada garis panduan pelaksanaan.
“Garis panduan penting kerana akan menerangkan segala peraturan dengan mempertimbangkan faktor kebersihan dan keselamatan termasuk undang-undang serta tindakan penguatkuasaan sekiranya gagal dipatuhi,” kata Dato’ Mohamad Zahri Samingon.
Semalam, EXCO Pelancongan memaklumkan tiada pusat beli-belah di Selangor yang dibenarkan menerima pengunjung bersama haiwan peliharaan.
Tegas Dato’ Ng Suee Lim, larangan itu kekal berkuat kuasa sementara Kerajaan Negeri meneliti semula garis panduan sedia ada bagi memastikan ia sejajar dengan sensitiviti masyarakat pelbagai kaum.



