Loji WTE Jeram 1 mula operasi, bukti komitmen Selangor urus sisa mampan

13 Mei 2026, 6:08 AM
Loji WTE Jeram 1 mula operasi, bukti komitmen Selangor urus sisa mampan
Loji WTE Jeram 1 mula operasi, bukti komitmen Selangor urus sisa mampan

SHAH ALAM, 13 MEI: Selangor mencipta sejarah apabila loji sisa kepada tenaga (WTE) pertama di negeri itu dan terbesar di Asia Tenggara, Jeram 1, mula beroperasi secara rasmi tengah malam tadi.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata loji yang siap dibina dalam tempoh dua tahun tujuh bulan itu mampu menguruskan sehingga 1,500 tan sisa pepejal sehari selain menjana tenaga elektrik untuk kegunaan rakyat Selangor.

Menurut beliau, projek berkenaan menjadi bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pengurusan sisa mampan menerusi teknologi moden, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah konvensional.

“Ini adalah detik bersejarah kerana ia merupakan pusat WTE pertama di Selangor dan yang terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti untuk menguruskan 1,500 tan sisa sehari.

“Saya tambah bangga kerana usaha ini dibangunkan sendiri oleh Kerajaan Negeri melalui anak syarikat iaitu Worldwide Holdings Bhd, sekaligus membuktikan keupayaan tempatan dalam merealisasikan dasar Kerajaan Negeri untuk beralih daripada tapak pelupusan sampah tradisional kepada pengurusan sampah yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kakitangan Worldwide Holdings Bhd meraikan pengoperasian rasmi loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 1 di Kuala Selangor yang bermula tengah malam tadi. Foto Facebook Amirudin Shari.

Amirudin berkata kerjasama antara Worldwide Holdings Bhd dan Shanghai Electric Power Generation Sdn Bhd membolehkan loji tersebut menjana sehingga 26 megawatt (MW) tenaga serta menghasilkan 1.248 juta kilowatt jam (kWh) tenaga elektrik.

“Kejayaan bersejarah ini diharap akan memberi pencerahan terhadap dakwaan bahawa Kerajaan Negeri tidak serius dalam bidang WTE yang mesra alam.

“Sebaliknya, ini adalah bukti kukuh komitmen Kerajaan Negeri untuk merangka dasar dan memastikan pelaksanaan dasar dijalankan secara teratur bagi manfaat rakyat dan negeri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Worldwide Holdings Bhd, rakan strategik dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat menjayakan projek berkenaan.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar memberikan tumpuan lebih serius kepada pembangunan industri WTE, memandangkan sektor itu merupakan antara pemacu utama masa hadapan dalam menangani cabaran pengurusan sisa dan keperluan tenaga lestari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.