Bantuan pendidikan menerusi agihan zakat ringankan beban 85,336 pelajar asnaf

18 Dis 2025, 9:30 AM
Bantuan pendidikan menerusi agihan zakat ringankan beban 85,336 pelajar asnaf
Bantuan pendidikan menerusi agihan zakat ringankan beban 85,336 pelajar asnaf
Bantuan pendidikan menerusi agihan zakat ringankan beban 85,336 pelajar asnaf

CYBERJAYA, 18 DIS: Seramai 85,336 pelajar asnaf di seluruh Selangor menerima bantuan pendidikan menerusi agihan zakat oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi sesi persekolahan 2026.

Peruntukan berjumlah RM36.5 juta itu disalurkan bagi meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan membeli keperluan persekolahan anak-anak menjelang Januari depan.

Program Simbolik Agihan Bantuan Pendidikan 2026 berlangsung di Dewan Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, hari ini.

Mohd Khairul Paadek, 36, berkata beliau bersyukur dengan bantuan itu yang meringankan bebannya sekeluarga.

“Sebagai ibu bapa, bantuan yang diberikan oleh LZS ini membantu dalam meringankan beban membeli peralatan sekolah,” katanya.

Mohd Khairul Paadek , 36 , Taman Putrajaya Perdana. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Siti Fatimah Awang Ahmad, 44, turut meluahkan rasa syukur apabila empat anaknya yang menuntut di sekolah rendah, menengah dan universiti turut menerima bantuan.

“Walaupun bekerja, taraf kehidupan semakin tinggi. Jadi bantuan ini membantu saya dan anak-anak,” katanya.

Siti Fatimah Awang Ahmad , 44 , Puchong. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Manakala Azmadi Mohamed, 47, berkata bantuan itu memberi kelegaan kepada keluarganya terutama dengan keadaan ekonomi semasa.

“Sangat meringankan beban apabila tiga anak saya menerima bantuan,” katanya kepada Media Selangor.

Azmadi Mohamed, 47 , Taman Putra Perdana. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Penyerahan bantuan disempurnakan Ahli Pemegang Amanah LZS, Dato’ Paduka Profesor Emeritus Dr Muhamad Awang. Turut hadir Orang Besar Daerah Sepang, Tengku Dato' Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Alhaj.