PNSB sasar bina 34,061 Rumah IDAMAN, siap ikut jadual

18 Dis 2025, 12:01 PM
PNSB sasar bina 34,061 Rumah IDAMAN, siap ikut jadual

SHAH ALAM, 18 DIS - Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menyasar pembinaan 34,061 unit Rumah Idaman Selangor (IDAMAN) sehingga 2030 dengan 6,262 unit siap setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata antara projek yang dibangunkan sejak 2022 adalah IDAMAN Abadi Kajang, IDAMAN Bandar Saujana Putra, IDAMAN Bukit Jelutong dan IDAMAN Qaseh, Sabak Bernam.

Beliau menjelaskan matlamat utama PNSB adalah menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat lengkap dengan kemudahan yang baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad, YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kita sasar 34,061 unit dan semua projek bakal dibina telah mendapat kelulusan untuk dibangunkan. Buat masa ini, 11,704 melibatkan 11 projek sedang dalam pembinaan iaitu di daerah Petaling, Sepang, Kuala Selangor dan Hulu Langat,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Raja Ahmad Shahrir Iskandar lagi, pembinaan Rumah Idaman kini mengikut tempoh ditetapkan dan tiada projek terbengkalai, malah ada yang siap lebih awal.

Pada Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan kunci kepada pemilik Rumah IDAMAN Bukit Jelutong, iaitu projek perumahan mampu milik bertaraf kondominium binaan PNSB.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (belakang, tengahi) bersama pemilik rumah dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Melur di Cycbersouth 10, Sepang pada 3 Julai 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Projek atas tanah seluas 10.5 ekar dengan nilai pembangunan kasar RM304 juta itu menawarkan 1,260 unit kediaman berkeluasan 1,000 kaki persegi setiap satu.

Setiap unit dilengkapi kemudahan asas seperti penyaman udara, kabinet dapur, almari pakaian, televisyen, pemanas air, dua parkir kenderaan termasuk kolam renang, dewan serbaguna dan sistem keselamatan tiga peringkat.

Amirudin sebelum ini juga memaklumkan Kerajaan Negeri giat memperkukuh agenda perumahan rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk projek Rumah IDAMAN.

Menurut beliau lagi, projek berkenaan menawarkan rumah berkualiti pada harga mampu milik, lengkap perabot asas sebagai nilai tambah kepada pemilik.