SHAH ALAM, 8 OGOS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini menyerahkan kunci kepada lapan pemilik Rumah Idaman Bukit Jelutong yang dibangunkan Gagasan Nadi Cergas Bhd dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Projek perumahan ini dibina di atas tanah seluas 10.5 ekar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sejumlah RM304 juta dan menawarkan 1,260 unit kediaman berkeluasan 1,000 kaki persegi setiap satu.

Setiap unit kediaman dilengkapi dengan kemudahan moden seperti televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari pakaian, penghawa dingin serta dua petak parkir bagi menjamin penghuni.
Bercakap kepada media selepas tinjauan, Amirudin memaklumkan sebanyak 39,733 unit rumah mampu milik diluluskan untuk dibina oleh Kerajaan Negeri melalui Gagasan Nadi Cergas, dengan 6,079 unit telah siap dan diserahkan kepada pemilik.
“8,352 unit dalam pembinaan yang memerlukan proses pembinaan yang akan lengkap sepenuhnya dalam tiga tahun.

“Pembinaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan Kerajaan Negeri perlu menyediakan kemudahan-kemudahan wardrobe dan harga ditetapkan pada harga RM250,000 mengikut kadar ambang nasional,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gagasan Nadi Cergas Berhad Ir Dr Muhamad Fuad Abdullah berkata projek berkenaan berjaya disiapkan lima bulan lebih awal dari jadual asal.
“Kami juga memperuntukkan 21 unit kontra yang diserahkan secara percuma kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangot (LPHS) dalam masa terdekat untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa.
“Unit-unit ini dilengkapi dengan lampu, kipas, kabinet dapur serta jerigi besi yang kini sedia untuk diduduki,” jelasnya.








