JPJ nafi nombor pendaftaran siri "EE", sahkan surat tular palsu

17 Dis 2025, 2:28 PM
JPJ nafi nombor pendaftaran siri "EE", sahkan surat tular palsu

PUTRAJAYA, 17 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan kononnya nombor pendaftaran kenderaan siri “EE” pernah dikeluarkan atau diluluskan jabatan itu, susulan tular satu surat palsu di media sosial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan tanda indeks nombor pendaftaran siri “EE” tidak pernah dikeluarkan, diperkenalkan atau diluluskan jabatan itu.

Menurut beliau, surat kelulusan yang tular itu merupakan dokumen palsu yang berpotensi memperdaya orang ramai.

"Hasil siasatan awal mendapati dokumen tersebut menggunakan format kepala surat, gaya penulisan dan susun atur menyerupai surat rasmi JPJ, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan kredibiliti jabatan.

"JPJ memandang serius perkara itu dan telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan maklumat tidak sahih berkaitan nombor pendaftaran kenderaan.

“Sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi JPJ bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.