Yayasan MBI sumbang RM15,000 hargai wira Selangor cemerlang peringkat antarabangsa

17 Dis 2025, 1:00 PM
Yayasan MBI sumbang RM15,000 hargai wira Selangor cemerlang peringkat antarabangsa
Yayasan MBI sumbang RM15,000 hargai wira Selangor cemerlang peringkat antarabangsa
Yayasan MBI sumbang RM15,000 hargai wira Selangor cemerlang peringkat antarabangsa

SHAH ALAM, 17 DIS: Kucing antara sembilan penerima sumbangan daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata haiwan itu antara penerima yang mengharumkan nama Selangor hingga ke serata dunia.

“Yayasan MBI hari ini menyampaikan sumbangan kepada lapan individu dan seekor kucing yang mengharumkan nama Selangor di peringkat antarabangsa melalui pencapaian cemerlang mereka.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap dalam program serahan sumbangan Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan pada 17 Disember 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Selain itu, bantuan turut diberikan kepada pelajar kurang berkemampuan serta individu yang memerlukan rawatan perubatan dengan jumlah keseluruhan sumbangan hari ini RM15,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serahan Sumbangan Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan di sini hari ini.

Sementara itu Nur Hazwani Zaidan, 34, pemilik kucing bernama Irene, 4, yang berjaya mewakili Malaysia ke Romania bagi Pertandingan Federation International Feline World Cat Show 2025 Oktober lalu menerima sumbangan RM2,000.

Nur Hazwani berkata meskipun kucingnya tidak dinobat sebagai juara namun berjaya ke peringkat suku akhir sudah memadai kerana itu kali pertama dia menyertai pertandingan tersebut.

Nur Hazwani Zaidan ditemui media ketika program serahan sumbangan Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan pada 17 Disember 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Sertai pertandingan ini sebab nak cuba nasib selain nak tengok kucing dari negara luar dan tak sangka berjaya juga sehingga ke suku akhir. Ini kali pertama pergi sehingga luar negara sebelum ini hanya dalam Malaysia.

“Terima kasih Yayasan MBI, sumbangan ini membantu menampung semula perbelanjaan dan insya-Allah, saya cadang nak cantikkan semula kucing ini sebab selepas balik dari Romania Irene agak kurus,” katanya yang mempunyai 30 ekor kucing.

Penerima lain pula adalah pasukan dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hua yang berjaya menyertai pertandingan World Robot Olympiad 2025 International Final Singapore dengan jumlah sumbangan diterima RM3,000.

Wakil penerima yang juga guru pembimbing Nik Muhammad Syazwan Mohd Razali tidak sangka terpilih dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan itu.

Guru pembimbing SMJKC Kwang Hua, Nik Muhammad Syazwan Mohd Razali ditemui media ketika program serahan sumbangan Yayasan MBI 2025 di Bangunan Darul Ehsan pada 17 Disember 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Walaupun sekadar naib johan tidak sangka juga terpilih menerima sumbangan hari ini, syukur ia membantu menampung perbelanjaan kami ke luar negara.

“Pasukan kami ada dua kumpulan membabitkan enam pelajar, sebelum ini pernah johan dunia di Panama pada 2023. Apapun terima kasih Yayasan MBI yang banyak membantu,” katanya.