SHAH ALAM, 17 DIS: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan kawasan seluas kira-kira 67.6 hektar berhampiran Rizab Hutan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong bukan lagi Hutan Simpanan Kekal, sebaliknya menjelaskan kawasan tersebut telah dinyahwarta sejak tahun 1926.
EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata dakwaan yang tular adalah tidak tepat kerana tiada perubahan status dilakukan oleh Kerajaan Negeri pada masa ini.
“Kita perlu lihat perkara ini daripada sudut perundangan semasa. Kawasan ini memang tidak dikategorikan sebagai hutan simpan dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han yang prihatin terhadap status tanah itu dan telah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan pengesahan.
“Pada masa sama, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang permohonan pembangunan yang diterima di kawasan berkenaan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau menambah, penjelasan yang dibuat ketika ini bukan berkaitan penukaran status hutan, sebaliknya bertujuan memperjelaskan status tanah sedia ada berdasarkan rekod perundangan yang sah.
Jamaliah turut menegaskan segala tindakan berkaitan tanah dan hutan di negeri ini sentiasa berlandaskan fakta, peruntukan undang-undang serta kepentingan jangka panjang negeri dan rakyat.
Sebelum ini, tular dakwaan seolah-olah Kerajaan Negeri menukar status Hutan Simpanan Kekal di kawasan berkenaan.
Namun kawasan itu sebenarnya telah dinyahwarta sejak 1926 dan pengesahannya dibuat bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).


