Mesra Rewards: 40 subkontraktor KDEBWM bawa pulang televisyen 55 inci

17 Dis 2025, 7:50 AM
Mesra Rewards: 40 subkontraktor KDEBWM bawa pulang televisyen 55 inci

SHAH ALAM, 17 DIS: Penggunaan Kad Fleet Petronas oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) sejak empat tahun lalu membolehkan 40 subkontraktor menerima televisyen berukuran 55 inci hasil penebusan mata ganjaran daripada pengisian minyak.

Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata kerjasama strategik KDEBWM dan Petronas menerusi Skim Kad Fleet Pintar yang dibekalkan kepada semua subkontraktor bukan sahaja memudahkan proses pengisian minyak, malah membantu mengawal ketirisan pembayaran tunai.

"Penggunaan kad ini selama empat tahun memudahkan semua kontraktor KDEBWM membuat pembayaran tanpa perlu menggunakan kaedah tunai.

"Hari ini kita memberikan sedikit barangan berbentuk televisyen LG 55 inci kepada 40 kontraktor KDEBWM yang telah menggunakan minyak Petronas," katanya.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir berucap dalam majlis penyerahan hadiah kempen penebusan ganjaran Mesra Rewards 2025 kepada subkontraktor KDEBWM di Ibu Pejabat KDEBWM, Shah Alam pada 17 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan hadiah kempen penebusan ganjaran Mesra Rewards 2025 kepada subkontraktor KDEBWM di sini, hari ini.

Menurut beliau, sepanjang pelaksanaan skim itu, KDEBWM melakukan dua kali penebusan mata ganjaran, bermula dengan baucar RM200 sebelum ini, dan kini penebusan barangan elektrik berupa televisyen.

"KDEBWM bersetuju membuat penebusan televisyen sebanyak 71 buah, 40 diberikan kepada subkontraktor dan selebihnya diinfakkan kepada mereka yang memerlukan," tambahnya.

Dalam pada itu, Ramli turut merakamkan penghargaan kepada Petronas atas kerjasama kukuh dalam menjayakan program berkenaan.

Tegas beliau, KDEBWM komited untuk terus menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai bagi memastikan pengurusan kewangan yang lebih telus dan efisien.