Selangor guna teknologi tampal jalan mesra alam, jimat kos operasi

16 Dis 2025, 8:21 AM
Selangor guna teknologi tampal jalan mesra alam, jimat kos operasi
Selangor guna teknologi tampal jalan mesra alam, jimat kos operasi
Selangor guna teknologi tampal jalan mesra alam, jimat kos operasi
Selangor guna teknologi tampal jalan mesra alam, jimat kos operasi
Selangor guna teknologi tampal jalan mesra alam, jimat kos operasi

KUALA LANGAT, 16 DIS: Kerja penyelenggaraan dan tampalan jalan di Selangor menjadi lebih cekap dan pantas menerusi penggunaan jentera mesra alam, iaitu Asphalt, Reuse & Recycling (AsRR).

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata jentera untuk kegunaan InfraSel Sdn Bhd itu adalah teknologi turapan dari Jepun berasaskan kaedah guna semula dan kitar semula bahan jalan raya sedia ada.

Jelas beliau, jentera AsRR itu adalah tambahan kepada penggunaan jentera berteknologi tinggi dari United Kingdom, Jetpatcher yang mula digunakan pada 2024.

“Ini merupakan satu pemangkin perubahan kerana teknologi ini telah digunakan lebih 20 tahun di Jepun, namun masih belum dikembangkan secara meluas di luar negara. Di Malaysia, Selangor menjadi negeri pertama membeli peralatan ini.

“Sebelum ini, kerja penurapan jalan menghasilkan lebihan bahan yang lazimnya disumbangkan kepada sekolah atau digunakan untuk jalan kampung tanpa proses guna semula. Namun menerusi teknologi ini, sisa tersebut akan dicampurkan bersama bahan aditif ke dalam mesin.

“Hasilnya, bahan yang dikeluarkan hampir menyerupai agregat granit asal dan boleh digunakan untuk kerja tampalan berskala besar atau kerosakan serius, cuma tidak digalakkan untuk pembinaan jalan baharu. Inisiatif ini menyumbang ke arah sasaran sifar karbon, selain menjimatkan kos operasi syarikat sehingga kira-kira 69 peratus melalui penggunaan bahan kitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Demonstrasi Mesin Turapan Jalan Asphalt, Reuse & Recycling (AsRR) di Tapak Pasar Malam Banting, di sini hari ini.

Izham turut memaklumkan bahawa rundingan harga bersama Kyuken Sogo Kaihatsu Co Ltd dari Kumamoto, Jepun, selaku pencipta jentera tersebut sedang dijalankan, namun beliau menjangkakan kosnya tidak melebihi RM1 juta bagi kira-kira enam unit jentera AsRR.

Mengulas perbezaan antara teknologi AsRR da Jetpactcher, beliau berkata kedua-duanya mempunyai fungsi tersendiri dan hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk menyelaraskan penggunaan semua teknologi yang tersedia.

“Setiap jentera mempunyai peranan masing-masing dan kita akan menyelaraskan penggunaannya bagi memastikan keadaan jalan sentiasa berada pada tahap baik dengan kos yang minimum,” katanya.