SHAH ALAM, 16 DIS: Dua koperal polis didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini, atas tuduhan meminta rasuah RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan memiliki air ketum serta rokok seludup.
Mohamad Irwan Ason, 40, dan Mohd Effendy Mat Desa, 38, didakwa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, lapor Berita Harian.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Mereka yang bertugas di Balai Polis Bukit Mertajam ketika kejadian dituduh secara rasuah memperoleh RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu kerana memiliki cukai jalan tamat tempoh, air ketum dan rokok tidak bercukai.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta berhampiran cawangan Maybank Taman Desa Damai di Bukit Mertajam pada 20 Julai 2023.
Mohamad Irwan dan Mohd Effendy bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee mencadangkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan syarat melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam, A Chandrasegaran merayu jaminan minimum dengan mengambil kira komitmen kewangan serta keadaan keluarga Mohamad Irwan yang mempunyai lapan anak serta menanggung pinjaman perumahan dan kereta.
Mohd Effendy pula menanggung tiga anak kecil, isteri sedang hamil, bapa uzur, selain menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi serta pinjaman perumahan.
Zulhazmi memerintahkan ikat jamin RM10,000 setiap seorang, kedua-dua tertuduh melapor diri setiap bulan kepada SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai sebelum menetapkan 20 Januari untuk sebutan kes.


