Suspek kes buang bayi belakang rumah dipercayai OKU lembam

15 Dis 2025, 12:27 PM
Suspek kes buang bayi belakang rumah dipercayai OKU lembam

SHAH ALAM, 15 DIS: Polis mengesahkan lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes sumbang mahram dan pembuangan bayi di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja, di Besut, Terengganu dipercayai orang kurang upaya (OKU) lembam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh berkata, perkara itu dikenal pasti hasil siasatan awal yang sedang dijalankan pihak polis.

“Polis telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bermula Isnin hingga 21 Disember ini bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini belum ada ahli keluarga lain atau saksi yang dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Md Sani berkata, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, katanya, kes sama turut disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan sumbang mahram, iaitu hubungan seks antara individu yang tidak dibenarkan berkahwin mengikut hukum agama.

Terdahulu, media melaporkan penemuan seorang bayi lelaki di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang membongkar perbuatan sumbang mahram yang dipercayai melibatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan adik lelakinya.

Hasil siasatan mendapati bayi yang dilahirkan secara rahsia itu merupakan hasil hubungan terlarang remaja perempuan berkenaan, yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

Bayi tersebut dipercayai dibuang di belakang sebuah rumah oleh suspek sebelum ditemui salah seorang penghuni rumah berkenaan.