Buang bayi dalam semak, remaja lepasan SPM direman empat hari

22 Jul 2026, 6:52 AM
Buang bayi dalam semak, remaja lepasan SPM direman empat hari

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seorang remaja lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) direman empat hari bagi membantu siasatan kes penemuan bayi perempuan yang dibuang di kawasan semak Kampung Jawa, Tawau, Sabah awal pagi semalam.

Perintah reman sehingga 25 Julai itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri, pagi tadi, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian itu, bayi perempuan seberat 3.1 kilogram ditemukan orang awam kira-kira jam 6 pagi di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa.

Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tawau oleh pasukan ambulans untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Susulan maklumat diterima, polis menahan seorang remaja lelaki yang disyaki terbabit di hadapan sebuah rumah di Kampung Jawa Sentosa, Jalan Guru, kira-kira jam 10.40 pagi semalam.

Kira-kira 30 minit kemudian, polis turut menahan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di kampung sama bagi membantu siasatan.

Siasatan mendapati remaja perempuan berkenaan dipercayai warga asing dan disyaki berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

"Dia ditahan selama 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Remaja perempuan itu kini masih menerima rawatan di Hospital Tawau bersama bayi perempuan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung penemuan bayi itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.