SHAH ALAM, 15 DIS: Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berwaspada susulan pelaksanaan pengalihan trafik dan lencongan sementara di Persimpangan FT29/FT32, Kota Warisan – Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) – KLIA sehingga 16 Februari depan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Unit Projek Khas Zon Tengah (Cawangan Jalan) memaklumkan kerja-kerja menaik taraf jalan di persimpangan berkenaan yang bermula 10 Disember lalu kini memasuki Fasa 4.
Menurut JKR, fasa berkenaan melibatkan penutupan laluan tertentu bagi melancarkan pelaksanaan projek serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Bagi tempoh tersebut, beberapa laluan lencongan disediakan dan masih boleh digunakan, antaranya:
- BBST/Nilai ke KLIA melalui laluan lencongan sementara
- KLIA ke BBST/Nilai dan Kota Warisan mengikut laluan ditetapkan
- Pusingan U (U-turn) disediakan di kawasan Kota Warisan
Pengguna jalan raya diwajibkan mematuhi papan tanda arah serta arahan lalu lintas di lokasi terlibat bagi mengelakkan risiko kemalangan dan kesesakan serius.
Pihak berkuasa turut menyeru orang ramai supaya memandu dengan berhati-hati, menggunakan laluan alternatif yang disarankan serta memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang tempoh kerja naik taraf dijalankan.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh disalurkan kepada kontraktor utama, RD Resources Sdn Bhd, melalui emel aduan.rdrsepang@gmail.com atau talian 011-71314220 (WhatsApp).


